Zairi Aziz Belum Sedia Bawa Watak Lelaki Lembut

Pelakon meningkat naik, Zairi Aziz, 24, mengakui belum bersedia untuk membawakan watak lelaki lembut kerana lebih berminat meneroka karakter lain yang dianggap mampu memberikan cabaran dan pengalaman lebih luas dalam perjalanan seninya.
Menurut Zairi, dia mempunyai kecenderungan terhadap watak aksi dan berharap dapat membina identiti tersendiri sebagai pelakon yang sinonim dengan karakter lasak serta memerlukan kemahiran fizikal.
“Kalau ada pelakon lain yang selesa membawa watak lelaki lembut, itu pilihan masing-masing. Bagi saya, buat masa ini saya lebih cenderung kepada watak aksi atau karakter yang memerlukan elemen pertarungan.
“Saya memang memasang impian untuk menjadi antara pelapis dalam industri yang boleh membawa watak-watak aksi. Namun, semuanya bergantung kepada jalan cerita dan kesesuaian watak itu dengan diri saya,” katanya.
Tambah Zairi, setiap tawaran yang diterima akan diteliti terlebih dahulu kerana baginya mesej yang ingin disampaikan menerusi sesebuah naskhah adalah aspek paling penting sebelum membuat keputusan.
Jelasnya, meskipun belum pernah menerima tawaran memainkan watak lelaki lembut, dia berasakan masih belum tiba masanya untuk mencuba karakter sedemikian.
“Saya suka menilai setiap watak daripada sudut cerita dan apa yang ingin disampaikan kepada penonton. Setiap karakter ada cabarannya sendiri.
“Kalau ada watak yang saya rasa kurang sesuai untuk saya, mungkin lebih baik diberikan kepada pelakon lain. Saya masih baharu dalam industri dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zairi percaya seseorang pelakon perlu membina nama menerusi usaha sendiri dan sentiasa bersedia memperbaiki kelemahan demi berkembang dalam industri.



