Berita

Wanita Sebak Selepas Tahu Tauke Gerai Diam-Diam Belanja Makan Selama 2 Tahun

Seorang wanita baru-baru ini berkongsi kisah penuh emosi mengenai seorang pemilik gerai nasi campur yang secara diam-diam memberinya makan selama dua tahun selepas ibunya meninggal dunia.

Apa yang lebih menyentuh hati, wanita itu hanya mengetahui perkara sebenar lapan tahun kemudian.

Dalam satu luahan tanpa nama, wanita tersebut berkata dia dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal dan kebanyakannya dijaga oleh neneknya sementara ibunya bekerja setiap hari.

Namun ketika usianya 10 tahun, ibunya meninggal dunia akibat sakit dan meninggalkan dia bersama neneknya sahaja.

Tanpa sumber pendapatan tetap, neneknya yang sudah bersara terpaksa kembali bekerja demi menampung persekolahannya.

Disebabkan masalah kewangan yang semakin mendesak, mereka berdua sering makan mi segera untuk berjimat.

Suatu hari selepas tamat sekolah, gadis itu berjalan-jalan di sebuah medan selera berhampiran dengan harapan dapat membeli snek.

Bau makanan dari sebuah gerai nasi campur menarik perhatiannya, namun selepas memeriksa poketnya, dia sedar dia hanya mempunyai RM2.

Kecewa, dia terus berpaling untuk beredar sebelum pemilik gerai tersebut tiba-tiba memanggilnya.

Menurut wanita itu, peniaga tersebut berkata: “Ibu kamu ada tinggalkan duit dengan saya sebelum dia meninggal dunia. Kalau kamu datang makan sini, saya cuma tolak dari duit itu,” ujar pemilik gerai itu.

Dalam keadaan lapar dan keliru, dia akhirnya menerima pelawaan tersebut lalu makan di gerai berkenaan.

Selepas selesai makan, dia cuba bertanya berapa jumlah yang perlu dibayar namun pemilik gerai enggan menerima wang daripadanya.

Malah, dia turut dibenarkan membungkus makanan untuk dibawa pulang kepada neneknya. Sejak hari itu, gerai nasi campur tersebut menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.

Setiap kali dia risau sama ada duit yang ditinggalkan ibunya sudah habis, pemilik gerai itu akan menenangkannya dengan mengatakan masih banyak lagi baki yang tinggal.

Wanita tersebut berkata dia terus makan di situ selama dua tahun sebelum berpindah tinggal bersama bapa kandungnya pada tahun 2014.

Walaupun bapanya kemudian menawarkan untuk menanggung pelajarannya, dia mengakui berat hati meninggalkan neneknya kerana wanita tua itu yang benar-benar membesarkannya.

Ketika berusia 18 tahun, wanita itu kembali ke kawasan tersebut dan singgah semula ke gerai nasi campur berkenaan.

Namun, dia tidak lagi bertemu pemilik gerai itu sebaliknya disambut oleh isteri lelaki tersebut yang memaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia setahun selepas dia berpindah.

Dalam perbualan mereka, isteri pemilik gerai itu mendedahkan satu perkara yang sangat mengejutkannya. Sebenarnya tiada sebarang wang yang ditinggalkan oleh ibu wanita itu.

Sebaliknya, peniaga tersebut terdengar cerita tentang kesusahan keluarganya daripada pelanggan lain dan berasa kasihan selepas melihat dia termenung memandang makanan pada hari pertama mereka bertemu.

Tidak sanggup melihat seorang kanak-kanak kelaparan, lelaki itu mereka cerita tersebut supaya dia boleh makan tanpa rasa bersalah.

Wanita itu mengakhiri luahannya dengan mengucapkan terima kasih kepada peniaga tersebut kerana memberi peluang kepada seorang budak kecil yang hanya mampu makan mi segera untuk menikmati hidangan panas setiap hari selama dua tahun.

Sumber: Facebook MamaClub menerusi WeirdKaya
Foto: Imej janaan Google Gemini

Related Articles

Back to top button