Pelancong Eropah Samakan Berjalan Di KL Dengan ‘Squid Game’

Bagi ramai pelancong, Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar yang penuh dengan jalan sibuk, cahaya neon serta kepelbagaian budaya yang terus menarik jutaan pengunjung setiap tahun.
Namun di sebalik semua itu, terdapat satu isu yang sudah lama menjadi rungutan penduduk tempatan dan pelancong iaitu tahap mesra pejalan kaki dan keselamatan di jalan raya.
Menerusi satu video TikTok yang dimuat naik oleh seorang pelancong dari Eropah, wanita tersebut memulakan videonya dengan memuji makanan Malaysia serta keramahan rakyat negara ini sepanjang lawatannya.
Dia kemudian mempersoalkan keadaan laluan pejalan kaki di Kuala Lumpur dengan berkata:
“Kenapa berjalan di KL rasa macam permainan survival?” tanya wanita itu.
Tambahnya lagi, walaupun terdapat jalan untuk pejalan kaki melintas, kereta masih memandu laju dan seolah-olah tidak berhenti untuk memberi laluan kepada orang ramai.
Pelancong berkenaan turut menyamakan pengalaman berjalan di KL seperti Squid Game, siri popular Netflix yang memaparkan peserta bermain permainan kanak-kanak dengan risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
Dia berkata sebagai orang Eropah, dia sudah terbiasa berjalan kaki ke lokasi berdekatan namun mendapati perkara itu sangat sukar dilakukan di Kuala Lumpur.
“Saya rasa macam tengah lawan nyawa atas jalan-jalan ini,” katanya secara berseloroh sebelum bertanya kepada rakyat Malaysia mengapa situasi sedemikian berlaku.
Di ruangan komen, ramai rakyat Malaysia menjelaskan bahawa punca utama keadaan itu adalah kerana Kuala Lumpur dibangunkan lebih berorientasikan kereta dan bukannya untuk pejalan kaki.
Seorang lagi netizen berkata cuaca panas serta harga minyak yang murah menyebabkan ramai rakyat Malaysia kurang gemar berjalan kaki.
Sementara itu, seorang pengguna lain berkata bukan sahaja pelancong yang “berjuang untuk hidup” ketika berjalan di KL, malah penduduk tempatan juga mengalami perkara sama.



