Wanita Pantai Timur Cantik & Manis – Noki
ADA menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga, penyanyi dan pelakon, Noki K-Clique tidak menolak takdir jika dijodohkan dengan wanita kelahiran Pantai Timur.
Pemilik nama sebenar, Ahmad Ikhwan Aji, berkata, dia tertarik untuk menjadikan wanita Pantai Timur sebagi isteri kerana mereka mempunyai kecantikan semula jadi.
“Semua orang mahu berkahwin dan memiliki sebuah keluarga, saya juga begitu, saya mahu berkahwin.
“Saya pernah diajukan pertanyaan suka wanita dari negeri mana? Kalau diberi pilihan saya suka wanita asal Kelantan dan Terengganu.
“Saya tengok wanita bertudung, berwajah campuran kebanyakannya dari Pantai Timur, cantik dan manis,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, anak kelahiran Sabah itu memberitahu bakal menyambut Aildilfitri di Pantai Timur namun menafikan sudah mempunyai ‘buah hati’ di negeri tersebut.
“Saya teruja untuk sambut raya di sana, tapi jangan salah faham, saya tiada kekasih hati di sana. Saya cuma teringin beraya di tempat orang lain, nak tengok kemeriahan.
“Tapi mana tahu tiba-tiba jumpa jodoh orang Pantai Timur, rezeki,” katanya dalam nada berseloroh.
Masih mencari bakal pasangan yang tepat untuk bertakhta di hati, Noki meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuknya.