Kereta Rosak Teruk, Faye Kusairi Nafi Berhutang ‘Along’

Kereta Rosak Teruk, Faye Kusairi Nafi Berhutang Ah Long

Kereta mengalami kerosakan teruk sehingga cermin hadapan pecah, pelakon, Faye Kusairi, 38, menafikan kejadian itu berlaku disebabkan isu berhutang dengan ‘along’.

Sebaliknya, menurut pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, kereta jenis Proton Exora miliknya telah dihempap bumbung balkoni kondominiumnya.

“Tolong hentikan spekulasi tidak benar, kereta saya rosak teruk bukan sebab saya berhutang dengan ‘along’, tapi dihempap bumbung.

“Sekitar pukul 4 petang (Rabu), salah satu bumbung balkoni dari tingkat tiga bangunan kondo roboh (besar kemungkinan kayu bumbung itu reput atau sudah lama).

“Jadi semua jenis konkrit berat dan kayu jatuh pada kereta saya dan juga jiran yang lain,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Mengakui sedih dengan kejadian tersebut, Faye berkata, kenderaan empat roda itu banyak berjasa kepadanya terutama dalam urusan mencari rezeki.

Mengenang nasib mahu menyambut Aidilfitri beberapa hari sahaja lagi, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu berkata, keadaan ekonominya ketika ini kurang stabil, tambahan lagi perniagaan Nasi Ayam yang diusahakan juga kurang mendapat sambutan.

“Perasaan saya sangat sedih ketika ini, lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya, tapi saya diuji sebegini. Banyak duit nak guna, saya ini berlakon lambat lagi nak masuk set.

“Perniagaan sekarang pun agak sendu, lagi-lagi bulan Ramadan. Nasi Ayam bukan makanan yang orang cari awak malam, lebih sesuai makan tengah hari. Kereta ini adalah kenderaan saya cari rezeki,” tambahnya lagi.

Related post

Leave a Reply