Wanita Ini Dituduh Suami Berlaku Curang Sebab Juruteknik Datang Rumah Baiki Modem

Seorang wanita yang bekerja di sektor korporat meluahkan rasa kecewa terhadap tuduhan serius dan tidak berasas suaminya yang mendakwa dia berlaku curang di rumah mereka sendiri.

Menurut perkongsian di media sosial, isu itu bermula apabila internet di rumah mereka mengalami gangguan selama seminggu.

Suaminya yang digambarkan sebagai seorang yang cepat marah, dikatakan berasa tertekan kerana tidak dapat menonton televisyen, sehingga merungut setiap hari.

“Saya dah cuba buat aduan servis, tapi semuanya tak berhasil. Dengan bantuan seorang kawan, saya berjaya dapatkan juruteknik untuk datang dan baiki masalah itu,” tulisnya.

Pada ketika itu, wanita berkenaan sedang bekerja dari rumah (WFH), manakala suaminya berada di pejabat.

Dia menjelaskan bahawa dia telah memaklumkan lebih awal kepada suaminya mengenai kunjungan juruteknik tersebut.

Namun, pertengkaran kecil kemudiannya menjadi besar apabila suaminya menghubungi ibu wanita itu dan menuduhnya membawa lelaki lain masuk ke rumah semasa dia tiada.

Selain itu, si suami turut mendakwa isterinya telah melakukan perbuatan tidak senonoh.

Tuduhan tersebut timbul akibat salah faham apabila juruteknik itu kembali sekejap ke rumah mereka untuk mengambil semula alat diagnostik WiFi yang tertinggal.

Wanita itu menjelaskan bahawa dia telah memberitahu juruteknik itu bahawa alat tersebut ditinggalkan di luar rumah sekiranya dia perlu mengambilnya semula.

Malangnya, suaminya pulang ke rumah tepat ketika juruteknik itu datang semula untuk mengambil alat tersebut, sekali gus menimbulkan syak wasangka.

“Tiba-tiba dia beritahu mak saya yang mungkin saya dah buat benda tak elok dalam rumah,” katanya seperti dilaporkan Wierdkaya.

Wanita itu, yang telah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun itu turut menyatakan bahawa suaminya memang mempunyai tabiat menceritakan masalah rumah tangga kepada kedua-dua belah keluarga.

“Saya selalu diam dan sabar, tapi kali ini tuduhan itu terlalu berat. Ini fitnah,” tulisnya.

Related post

Leave a Reply