Tragedi Kebakaran Apartment, MAMA Awards 2025 Tetap Diteruskan Di Hong Kong
Majlis anugerah muzik K-pop, MAMA Awards 2025, yang kembali ke Hong Kong selepas tujuh tahun, dijadualkan berlangsung seperti biasa.
Acara dua hari itu akan diadakan di Stadium Kai Tak pada 28 dan 29 November, namun penganjur memaklumkan bahawa persembahan kali ini akan dijalankan dalam suasana yang lebih suram dan penuh hormat.
Menurut laporan media, pelakon Hong Kong, Chow Yun Fat, dan pelakon Malaysia, Michelle Yeoh, yang sepatutnya menjadi penyampai anugerah, telah menarik diri daripada acara tersebut.

Menerusi media sosial, Michelle menulis: “Hati saya hancur mendengar berita tragis dari Tai Po. Saya berdoa untuk keluarga yang sedang berduka, mereka yang cedera, dan semua yang terjejas oleh tragedi ini.
“Saya amat berterima kasih kepada para anggota bomba, pasukan penyelamat dan semua yang tampil membantu dalam situasi yang begitu sukar. Sila sokong usaha bantuan tempatan sedaya yang boleh,” tulisnya.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, kumpulan K-Pop seperti Stray Kids, Tomorrow X Together, IVE, Enhypen dan Riize telah berlepas ke Hong Kong sama ada pada 26 atau 27 November lalu.
Sumber: The Straits Times
