Wanita Gigit Penguat Kuasa DBKL Didenda RM3,000
Minggu lalu, viral di media sosial tentang seorang wanita yang didakwa ‘mengamuk’ dan menggigit penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Susulan daripada insiden berkenaan, wanita tersebut kini dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000.
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, wanita tempatan berusia 30 tahun itu dituduh di mahkamah kelmarin.
“Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh mahkamah,” katanya pada satu kenyataan.
Menerusi satu lagi kes menghalang petugas DBKL, kertas siasatan membabitkan tiga suspek lelaki tempatan berusia 15 hingga 39 tahun akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya.
Terdahulu, media melaporkan, penguat kuasa DBKL cedera diserang penjaja tidak berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dalam dua kejadian berasingan.
Dalam pada itu, DBKL dalam kenyataan menjelaskan, dua laporan polis dibuat berhubung kejadian mendatangkan kecederaan kepada penguat kuasa. Ekoran insiden berkenaan, empat individu ditahan.
Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan seorang penjaja wanita bergelut dengan beberapa penguat kuasa DBKL yang sedang menjalankan tugas di sekitar ibu negara.
Dalam video berdurasi 30 saat itu, penjaja wanita berkenaan dilihat menjerit dan meronta-meronta sementara tiga penguat kuasa wanita cuba menenangkannya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas DBKL cuba menyita kenderaan wanita berkenaan seperti yang dilaporkan Berita Harian.