Bakar Kereta, Lebur RM200,000 Demi Impak Maksima 2
Demi memberikan hasil terbaik, pengarah filem Impak Maksima 2, Dr Ahmad Idham sanggup ‘meleburkan’ RM200,000 hanya untuk adegan kereta drift terbakar yang berdurasi satu minit setengah dalam naskhah tersebut.
Menurut Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, pihak produksi sanggup berbelanja besar demi memastikan adegan itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton selain ingin menggarap elemen dramatik semula jadi, bukan dengan teknik janaan imej (CGI).
“Babak sebuah kereta dilanggar sebuah lori di Bukit Bintang menelan belanja RM200,000. Kerana sebuah kereta sahaja sudah RM50,000. Kos keseluruhan termasuk kereta, lori, pelakon ‘stunt’, anggota polis, rela dan beberapa lain lagi.
“Pihak produksi sanggup keluarkan kos sebanyak itu hanya untuk babak berdurasi seminit setengah sahaja. Kita perlukan babak ‘drift’ yang boleh menarik minat penonton,” katanya ketika ditemui di sidang media baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Idham berkata, dia menggunakan platform TikTok sebagai kaedah promosi dengan melakukan sesi siaran langsung babak belakang tabir dan tidak menyangka berjaya menarik ribuan peminat datang ke lokasi penggambaran bagi menyaksikan sendiri rakaman filem sekuel itu.

“Sekarang zaman media sosial terutama TikTok, saya tidak menyangka rupanya ramai yang masih ingat dengan filem ini dan tidak sabar mahu tunggu Impak Maksima 2 ditayangkan.
“Selepas tular di TikTok, ramai yang turun ke lokasi penggambaran untuk melihat sendiri. Ternyata filem ini ada peminat tersendiri bukan sahaja datang dari generasi lama tetapi juga baharu.
Selepas 18 tahun, filem Impak Maksima yang pernah mencetuskan fenomena pada 2007 kembali dengan sekuel serta aksi lebih mendebarkan buat peminat dunia permotoran tahun ini.
Filem terbitan Screen Studio Sdn Bhd ini menampilkan gandingan pelakon lama dan baharu antaranya Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, Opie Zami, Arifie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Riena Amirah dan Man Raja Lawak.
Idham berkata, dari segi jalan cerita, filem sekuel ini adalah kesinambungan dari cerita Impak Maksima 1.