Wanita Didakwa Orang Ketiga Dalam Rumah Tangga Nubhan Buat Laporan Polis

Wanita Didakwa Orang Ketiga Dalam Rumah Tangga Nubhan Buat Laporan Polis

Tular satu hantaran di Facebook dipercayai milik anak kepada wanita yang dikaitkan sebagai individu ketiga dalam rumah tangga penyanyi, Ahmad Nubhan dan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Dalam kenyataan tersebut, dia memaklumkan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Jumaat lalu bagi mempertahankan maruah serta membersihkan nama ibunya daripada tuduhan tidak berasas.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas beberapa pihak terus menyebarkan gambar dan membuat andaian palsu kononnya ibunya menjadi punca perpisahan antara Nubhan dan Dr. Afifah.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan berdiam diri terhadap sesiapa yang menyebarkan fitnah, manipulasi gambar atau menyebarkan cerita palsu membabitkan saya dan keluarga.

“Semua gambar yang tersebar adalah milik peribadi yang dicuri daripada media sosial saya atau daripada telefon individu lain tanpa keizinan.

“Gambar itu dirakam dalam suasana biasa, namun disalah tafsir seolah-olah mama saya menjadi penyebab keretakan rumah tangga orang lain,” katanya.

Menurutnya lagi, ibunya langsung tidak mempunyai kaitan dengan pergolakan rumah tangga pasangan tersebut, malah hubungan mereka dengan Nubhan dan Dr. Afifah masih baik atas dasar kemanusiaan dan persahabatan.

“Sekiranya selepas ini kami dilihat bersama Nubhan sekalipun, jangan jadikan ia alasan untuk menimbulkan fitnah baharu. Kami tidak menyembunyikan apa-apa, dan kami tahu kebenaran sebenar.

“Kami juga tidak akan mengulas punca sebenar perpisahan mereka kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa. Jadi, hentikan segala bentuk gangguan terhadap mama saya termasuk panggilan, mesej atau cubaan mendapatkan cerita,” tegasnya.

Terdahulu, industri hiburan dikejutkan dengan berita perceraian Nubhan dan Hidayah.

Pada 16 Oktober lalu, pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang untuk memfailkan pengesahan lafaz talak pertama yang dibuat pada 2017, pengesahan rujuk yang berlaku selepas itu dan pengesahan lafaz talak yang berlaku sekali lagi pada 26 Ogos lalu.

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Khamis lalu, Nubhan menafikan wujudnya orang ketiga sebagai punca kepada keretakan rumah tangganya.

Related post

Leave a Reply