Music

‘Vibe’ Lain Macam, Ernie & Syamel Pilih Hong Kong Bikin MV Raya

Paduan suara pasangan suami isteri ini tidak perlu dipertikaikan lagi sementelah masing-masing sudah membuktikan mereka antara ‘gergasi’ bidang muzik tanah air.

Tidak betah menikmati apa yang sudah dimiliki, Ernie Zakri dan Syamel kembali bergabung menerusi sebuah naskhah lagu raya baharu berjudul Suasana Raya.

Menariknya lagu ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board, yang turut menampilkan Hong Kong sebagai sebuah destinasi mesra Muslim dalam muzik video (MV) berkenaan.

Menampilkan gabungan melodi klasik raya, lirik yang menyentuh jiwa serta keserasian vokal kedua-dua penyanyi ini, Suasana Raya merakamkan keindahan pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga. 

Menurut Ernie, Hong Kong merupakan destinasi yang sangat sesuai dengan konsep lagu dan video muzik ini.

“Bandaraya tersebut sangat sesuai kerana ia ‘Muslim-friendly’ dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen. Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque. 

“Selain itu, terdapat banyak tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park dan ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” jelasnya.

Suasana Hong Kong menjadi tarikan utama kepada video muzik Suasana Raya.

Suasana bandar Hong Kong yang begitu mempesona dan dinamik turut menjadi inspirasi kepada konsep keseluruhan video muzik tersebut. 

Dan pastinya, suasana kota tersebut sangat meriah dan penuh warna membuatkan pasangan ini mahu peminat merasainya.

Budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual yang moden dan unik, selari dengan lagu ini yang menggabungkan elemen raya tradisional dan moden seperti yang mereka impikan.

Sebagai menghargai sokongan peminat, Ernie dan Syamel turut menganjurkan sebuah sesi tontonan awal video muzik Suasana Raya bersama peminat pada 17 Februari lalu di Aurum Theatre, Kuala Lumpur.

Hampir 100 peminat terpilih diberi peluang eksklusif untuk menonton video muzik tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi. 

Berkongsi perasaannya selepas sesi tersebut, Ernie bersyukur kerana dapat merealisasikan apa yang sudah dirancang sejak beberapa bulan yang lalu lagi.

Dikenali dengan lagu-lagu balada yang penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza. 

“Lagu ini sangat mengujakan tetapi santai. Apabila merakamkannya bersama Syamel, proses itu menjadi lebih mudah dan penuh keseronokan dan kami dapat benar-benar menikmati setiap momen,” katanya. 

Keserasian mereka yang telah lama terjalin turut membantu menghasilkan penyampaian yang lebih semula jadi dan ikhlas.

Bagi Syamel pula, kekuatan utama lagu ini terletak pada melodinya yang catchy dan cukup sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan. 

“Suasana Raya sangat catchy dan memang kena dengan mood Hari Raya. Ia adalah lagu yang sesuai didengarkan ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Syamel turut menambah bahawa menyampaikan lagu yang ceria juga memerlukan emosi yang jujur agar kegembiraan itu benar-benar sampai kepada pendengar. 

Jelanya, dia mahu pendengar menikmati kegembiraan dan sepanjang proses rakaman mereka sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut dapat disampaikan dengan lebih tepat.

Berkongsi mengenai pengalaman penggambaran muzik video pula, Syamel menyifatkan ia sebagai satu memori yang sangat bermakna buat mereka sekeluarga. 

“Rakaman MV ini terasa seperti kami sedang bercuti sekeluarga, sebab kami dapat bawa Khawla ke set penggambaran dan ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Hong Kong. Ia bukan sekadar penggambaran tetapi satu pengalaman indah yang kami dapat kongsi bersama sebagai sebuah keluarga.

“Kami berharap Suasana Raya akan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri, dan terus kekal di hati peminat untuk jangka masa yang panjang,” kata Syamel.

Related Articles

Back to top button