“Amad Jangan Menyanyi, Nanti Pengsan”

Penyanyi remaja, Amad Dayyan, 14, mengakui tidak terkecuali berdepan pelbagai bentuk buli dan kecaman di media sosial, namun memilih untuk menjadikan pengalaman itu sebagai pemangkin semangat dalam perjalanan seninya.
Amad berkata, dia menerima komen negatif daripada netizen sejak mula dikenali, namun enggan membiarkan perkara itu menjejaskan emosi dan keyakinan diri.
“Buli siber macam-macam saya sudah kena, tapi saya okay dan tak terasa pun. Saya anggap buli ini sebagai pembakar semangat. Kadang-kadang saja baca komen walaupun sebenarnya saya tak suka baca komen,” ujarnya.
Antara kecaman paling pedih diterima adalah apabila ada individu mempersendakan keupayaannya sebagai penyanyi dengan mengeluarkan kata-kata sinis.
“Antara komen paling pedih apabila ada yang kata, ‘Amad jangan menyanyi nanti pengsan’. Saya hanya sebut Alhamdulillah kalau orang kecam dan tak ambil peduli pun.
“Saya sudah biasa dengan kecaman, jadi saya boleh terima. Setakat ini, tak pernah ‘down’ lagi,” jelasnya lagi.
Bukan hanya di alam maya, Amad turut mendedahkan pernah menjadi bahan ejekan secara bersemuka termasuk di sekolah.
“Dekat luar lain, ada yang cakap depan-depan, misalnya di sekolah. Bila cikgu suruh menyanyi, ada yang cakap jangan menyanyi nanti pengsan dan sakit bahu.
“Saya okay saja sebab mereka minta maaf. Saya tahu mereka main-main, jadi saya tak terasa langsung,” katanya.
Dalam masa sama, Amad turut berkongsi bahawa dia banyak berpegang kepada nasihat ahli keluarga, khususnya kakaknya, Umairah.
“Saya ikut nasihat kakak, dia kata jangan kisah apa orang nak cakap. Buat tak tahu saja,” ujarnya.
Sementara itu, Amad turut mempertahankan rakan seperjuangannya, Marsya Qistina yang menjadi sasaran buli siber selepas muncul juara program Talk To My Manager.
Menurutnya, dia sentiasa memberi sokongan moral kepada Marsya yang juga anak kepada penyanyi Liza Hanim, selain berharap orang ramai berhenti mengecam rakan baiknya itu.
“Saya kasihan pada Kak Long saya. Walaupun dia dapat nombor satu, saya tetap menyokong dia. Anda semua janganlah kecam dia,” katanya.



