FilmLakon Layar

Tragedi David Ozaro Di Layar Perak, Angkat Keadilan, Kuasa & Suara Rakyat

Indonesia sudah tentu tidak pernah melupakan kes seorang anak muda, David Ozora yang telah teruk dibelasah sehingga mengalami koma dalam tempoh yang agak lama.

Insiden yang berlaku pada tahun 2023 itu bukan sekadar sebuah tragedi, tetapi menjadi simbol luka mendalam, kemarahan awam, serta persoalan besar tentang keadilan, penyalahgunaan kuasa dan budaya berdiam diri terhadap keganasan. 

Berpaksikan kisah benar tersebut, sebuah filem berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan dengan mengangkat tragedi ini dalam konteks yang lebih luas melibatkan isu keadilan, suara rakyat, ketidakseimbangan sistem perundangan serta perjalanan psikologi dan spiritual dari sudut pandang keluarga mangsa.

Filem ini diarahkan oleh Umbara Brothers, iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, dan diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films serta Dbay Film Factory. 

Projek ini juga menandakan kerjasama semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama tidak mengarahkan filem bersama.

“Idea awal filem ini lahir daripada Bounty. Sejak perancangan awal, kami sudah jelas dengan arah penceritaannya dan bersetuju untuk mengarahkannya bersama. Kisah David ini benar-benar menggoncang Indonesia. 

“Namun begitu, ramai tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang menyaksikan anaknya menjadi mangsa perundungan oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang hidupnya hanya dua peratus” ujar Anggy Umbara, selaku pengarah dan penerbit.

Filem ini mengangkat kiah benar yang terjadi di Indonesia.

Filem berkenaan mengangkat kisah perjuangan seorang bapa, Jonathan Latumahina apabila anaknya, David Ozora koma akibat penganiayaan kejam seorang lelaki yang juga anak kepada seorang pegawai kanan tinggi kerajaan.

Jonathan berusaha menegakkan keadilan dalam sistem perundangan yang dilihat berat sebelah, sementara pelaku pula menerima layanan istimewa kerana pengaruh dan kuasa bapanya.

Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila serta Mathias Muchus, filem ini dijadualkan untuk tayangan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 22 Januari ini.

Ujar Anggy, filem arahannya itu bukan sekadar pelakuan jenayah, sebaliknya sebuah interpretasi mendalam yang memaparkan kesan psikologi dan emosi akibat perundungan serta keganasan terhadap mangsa dan insan di sekelilingnya. 

“Naratifnya pula menelusuri perjalanan spiritual dan kekuatan dalaman seorang bapa ketika berhadapan ketidakadilan saat anaknya koma selama puluhan hari, serta bagaimana sokongan masyarakat awam menjadi sebahagian daripada proses pemulihan,” ujarnya.

Selain mengetengahkan isu keadilan dan sistem perundangan, filem ini membawa penonton menyelami emosi watak Jonathan yang dilakonkan oleh Chicco Jerikho yang mengakui wataknya itu antara yang paling mencabar dalam kerjayanya.

“Walaupun bukan filem aksi, membawakan watak Jonathan sarat dengan mainan emosi dan tenaga. Kedekatan saya dengan kes ini menjadikannya lebih berat. 

“Emosi itulah yang memaksa saya mengawal perasaan agar kekal setia kepada realiti watak dan peristiwa sebenar,” jelas Chicco.

Sebagai sebuah karya sinematik yang berakar daripada sebuah kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bukan sahaja menjadi peringatan terhadap kes perundungan yang menggoncang negara, malah menyoroti kekuatan solidariti masyarakat dalam menentang ketidakadilan. 

Filem tersebut juga mengajak orang ramai memanfaatkan ruang awam dan digital sebagai medium untuk bersuara apabila berdepan penyalahgunaan kuasa.

Related Articles

Back to top button