“Tiada Masalah Kalau Saya & Nourul Disatukan Dalam Konsert”

Harapan peminat untuk menyaksikan Ajai dan Nourul Depp kembali bergandingan di atas pentas berkemungkinan menjadi kenyataan apabila komposer terkenal itu tidak menolak satu hari nanti mereka bakal disatukan semula dalam sebuah persembahan istimewa pada masa akan datang.
Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas berkata, idea untuk mengadakan konsert khas bersama Nourul bukan sesuatu yang mustahil memandangkan mereka pernah mencipta momen tersendiri menerusi lagu-lagu duet yang masih kekal dalam ingatan peminat sehingga hari ini.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, sebab orang memang kenal Ajai dan Nourul. Jadi saya rasa tiada masalah kalau saya dan Nourul disatukan dalam satu konsert.
“Pada saya, itu akan jadi sesuatu yang lebih istimewa. Namun, kita kena tunggu waktu yang tepat kerana kami pernah disatukan sebelum ini dan lagu-lagu kami masih dekat di hati peminat.
“Kalau mahu kembali bergabung di pentas, ia perlukan masa yang sesuai serta elemen kejutan supaya peminat kedua-dua pihak benar-benar teruja,” katanya.
Bagaimanapun, Ajai menjelaskan dia tidak dapat memenuhi undangan untuk menjayakan konsert For You Nourul yang berlangsung pada 30 Mei lalu kerana terikat dengan komitmen lain bersama kumpulan Exists.
“Saya memang agak sibuk sekarang dengan beberapa rakaman selain sedang membuat persiapan untuk konsert Exists yang semakin hampir,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kejayaan konsert Nourul, Ajai mengakui dia langsung tidak meragui kemampuan penyanyi itu untuk menarik perhatian peminat memandangkan Nourul mempunyai deretan lagu hit yang masih diminati ramai.
“Saya tak pernah risau tentang katalog lagu Nourul sebab dia memang ada banyak lagu popular sama ada lagu solo atau duet.
“Antaranya seperti Cinta Azali, Tempias dan Ikhlasnya Cintaku. Bila dicampur pula dengan lagu-lagu duet, saya rasa memang tiada masalah untuk peminat menyanyi bersama sepanjang konsert,” ujarnya.



