‘Sesi Potret’ Tembusi Carta Malaysia, Kolaborasi Adik-Beradik eńau dan Ari Lesmana Raih Perhatian

Bagaikan dihiris belati tajam, itu juga yang dirasai oleh sebahagian besar peminat tatkala saat kali pertama mendengarkan lagu Sesi Potret nyanyian eńau dan Ari Lesmana.
Bait-bait lirik yang terkandung di dalam lagu berkenaan begitu dekat di hati sesiapa sementelah isi ceritanya lebih berkisar kepada kehidupan seharian demi membahagikan orang tersayang.
Sejak dilancarkan beberapa bulan lalu gandingan eńau dan Ari Lesmana terus mencipta fenomena serantau apabila berjaya menduduki tangga teratas carta Spotify Indonesia Top 50, selain menembusi carta Spotify Top Songs Malaysia di kedudukan #189 sehingga 6 Jun lalu.
Pencapaian itu menjadi lebih istimewa apabila lagu berkenaan merupakan kolaborasi pertama antara dua adik-beradik yang semakin berpengaruh dalam dunia muzik Indonesia.
eńau, atau nama sebenarnya Putra Permana, bukan nama asing dalam kalangan pencinta muzik indie Indonesia. Penyanyi yang berasal dari Pekanbaru itu mula berkarya sejak 2009 sebelum memperkenalkan nama pentas eńau pada 2018.
Beliau turut dipilih sebagai salah seorang artis Spotify RADAR Indonesia 2026 dan dikenali menerusi lagu-lagu seperti Negara Lucu, Krisis Solusi dan Keringatku yang banyak mengangkat isu sosial dan keresahan kehidupan seharian.

Lebih menarik, eńau merupakan adik kepada Ari Lesmana, vokalis kumpulan folk-pop terkenal Fourtwnty yang popular menerusi lagu-lagu seperti Zona Nyaman, Fana Merah Jambu dan Kusut.
Ari sendiri diiktiraf sebagai antara figura penting dalam gelombang muzik indie Indonesia menerusi suara dan penulisan lirik yang dekat dengan kehidupan pendengar.
Kolaborasi menerusi Sesi Potret menjadi detik yang dinanti-nantikan peminat kedua-dua artis. Malah, eńau pernah mengakui Ari merupakan idolanya dan kolaborasi bersama abang kandungnya itu adalah antara impian terbesar dalam kerjaya muziknya.
Dilancarkan pada 30 Januari lalu, Sesi Potret menggabungkan penceritaan intim dengan susunan muzik hangat dan melankolik. Lagu tersebut menyentuh tema cinta, kehilangan, penyesalan dan memori yang sering dipandang remeh ketika seseorang masih berada di sisi.
Melalui lirik santai dan melodi yang lembut, lagu itu mengangkat kesedaran bahawa masa tidak akan pernah berulang, manakala detik-detik biasa bersama insan tersayang suatu hari nanti mungkin menjadi kenangan paling berharga.
Menurut eńau, lagu tersebut lahir daripada pelbagai kisah kehilangan yang berlaku dalam kalangan orang di sekelilingnya.

“Lagu ini mengingatkan saya dan ramai orang tentang ‘masa’ bersama insan tersayang. Kadang-kadang maruah, ego dan kesibukan menjadi alasan untuk menangguhkan pertemuan atau pelukan dengan orang yang kita sayang.
“Jangan sampai kita mendengar perkataan ‘terlambat’, kerana masa tidak akan pernah berulang,” katanya dipetik dalam satu temubual media di Indonesia.
Membawakan nuansa nostalgia yang menenangkan, Sesi Potret mengajak pendengar memperlahankan rentak kehidupan dan kembali menghargai hubungan dengan keluarga, sahabat serta insan tersayang.
Tema kemanusiaan yang universal menjadikan lagu ini mudah diterima merentasi budaya dan generasi.
Kejayaan karya terbitan Musica Publisher Indonesia itu turut didorong oleh sambutan luar biasa di media sosial dan platform penstriman digital, apabila ramai pengguna menjadikan lagu berkenaan sebagai latar video berkaitan keluarga, perpisahan dan kenangan hidup.
Berdasarkan momentum positif tersebut, FireFly Records merancang memperluaskan capaian antarabangsa Sesi Potret menerusi kempen digital, promosi playlist, liputan media global serta pelbagai kerjasama rentas sempadan.
Melalui kejayaan ini, eńau terus mengukuhkan reputasinya sebagai penulis lagu yang jujur dan dekat dengan emosi manusia, manakala Ari Lesmana menambah dimensi baharu kepada karya tersebut menerusi vokal hangat dan penuh penghayatan yang menjadi identitinya.



