‘Kasih tertumpah kepada dunia seni, bukan si dia’
KUALA LUMPUR: Gah mencipta legasi dalam dunia lakonan sejak era filem Perempuan, Isteri & …? lebih tiga dekad lalu, siapa sangka bintang ‘senior’, Nasir Bilal Khan, 63, pernah kecewa bercinta gara-gara memilih dunia seni sebagai mata pencarian hidup.
Nasir yang sering dilabel pelakon ‘method’ atau berilmu tinggi, mendakwa permintaan kekasih lama yang mahu beliau memilih antara pentas seni atau dirinya, membuatkan pelakon drama Tanah Kubur ini buntu, namun, terpaksa akur dengan minat terhadap kerja kreatif.
“Pernah suatu ketika, saya ada teman wanita, iaitu ketika saya dalam lingkungan 20-an. Dia suruh saya pilih antara bidang teater atau dirinya.
“Ketika itu, saya fikir, bakal anak saya membesar dalam kehidupan bermasyarakat. Kalau masyarakat itu tidak elok, mungkin anak saya akan terikut jadi tidak elok.
“Saya pula dalam bidang teater yang mampu membentuk masyarakat. Apabila dia suruh pilih, akhirnya, saya pilih dunia teater… Saya tinggalkan dia.
“Ketika itu, saya ‘frust’ menonggeng sebab sukakan dia. Namun, apabila dia suruh saya pilih, saya terpaksa pilih teater.
“Namun, apabila sudah bekerja, ada suatu ketika, saya kecewa apabila ada banyak rintangan. Sepatutnya, kami saling memahami,” katanya pada sidang media musim terbaru drama rantaian Tanah Kubur di ibu negara, baru-baru ini.
Nasir yang meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia(FFM) Ke-11 bagi watak Amir yang dibawanya dalam filem Perempuan, Isteri &… ?
Nasir yang meninggalkan kesan mendalam melalui watak penggali kubur dalam drama Cinta Si Penggali Kubur terbitan TV3, mengaku kasihnya tertumpah kepada dunia seni.
Nasir mahu menyebarkan mesej bermanfaat kepada penonton melalui lakonan ditampilkan dalam drama atau filem.
“Saya terjun ke dunia seni kerana mahu berhubung dengan masyarakat. Itu matlamat utama saya. Bagi saya, hidup ini adalah tanggungjawab.
“Apa yang kita tanggung di bahu kita, akan disoal Allah di akhirat,” katanya.
Nasir
Bagaimanapun, Nasir mengaku banyak tawaran berlakon ditolaknya sekarang.
“Malah, baru-baru ini, ada satu tawaran berlakon filem diterima. Namun, ada kemungkinan, saya tolak.
“Bagi saya bukan duit, sebaliknya, tanggungjawab. Sebagai orang seni, lakonan dianggap santapan rohani.
“Apa yang masuk di mata dan telinga, semua beri kesan. Jadi, jika perkara negatif, ia beri kesan negatif. Begitulah sebaliknya.
“Jadi, kita ada peranan dalam membentuk masyarakat. Disebabkan itu, kita kena sama-sama pikul peranan itu dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Nasir pernah meninggalkan dunia seni selama dua tahun apabila hilang minat berlakon.
“Saya pernah berhenti berlakon dua tahun sebab tidak mahu buat lagi. Namun, selepas itu, saya kembali dengan drama Cinta Si Penggali Kubur sampai sekarang,” katanya.
Seiring misinya dalam dunia lakonan, Nasir menerima tawaran menghidupkan watak Tok Adi dalam drama rantaian Tanah Kubur atas faktor karakter itu mampu memberi pengaruh baik, terutama dalam aspek kerohanian kepada penonton.
“Bagi saya, Tanah Kubur ini bercerita mengenai matlamat hidup iaitu mati. Kita semua menuju ke tanah kubur.
“Apabila kita tahu bahawa matlamat hidup kita mati, kita tahu apa yang mahu diisi dalam hidup kita.
“Selagi berpegang pada matlamat itu dengan sunah Rasulullah SAW dan jika manusia melanggar apa yang sepatutnya diikuti, bila sampai kepada urusan jenazah, mulalah ada macam-macam masalah.
“Tanah Kubur dianggap antara drama lakonan saya yang selari dengan matlamat untuk bergiat dalam bidang seni.
“Mudah-mudahan, suatu hari nanti akan lahir karya baik yang dapat membentuk masyarakat kita maju ke hadapan,” katanya.