Bukan terakhir, konsert Ella lakar sejarah

KUALA LUMPUR: Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh Malaysia Book of Records.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Ratu Rock kerana menjadi artis tempatan pertama meraih kejayaan itu.

Mengulas perkara itu, Ella meluahkan rasa bangga dan mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.

“Saya hargai pengiktirafan diberikan. Saya juga berbangga dengan diri sendiri.

Terima kasih atas sokongan anda,”

Ella

Mengulas spekulasi ini adalah konsert terakhirnya, penyanyi lagu Sembilu ini menafikannya.

“Ini bukanlah konsert terakhir, sebaliknya apa yang berlaku malam ini (semalam) akan dimuatkan dalam jilid akhir buku yang saya terbitkan.

“Saya akan ke Singapura pada Ogos depan mengadakan konsert,” katanya.

Sementara itu, Ella turut membuat kejutan apabila berpadu suara dengan penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search dengan menyanyikan lagu Dua Insan Bercinta.

“Semua orang tahu Amy adalah Raja Rock. Disebabkan itu, saya mengundangnya untuk berduet dengan saya,” ujarnya.

Menerusi konsert sempena meraikan ulang tahun ke 35 dalam dunia muzik, Ella turut berduet dengan suaminya, Azhar Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu.

Konsert anjurkan Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen ini berlangsung selama dua malam berturut-turut iaitu malam tadi dan malam ini.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan termasuklah Datuk Sheila Majid, Ziana Zain, Misha Omar, Rozita Che Wan, Noryn Aziz, Ara Johari dan ramai lagi.

Related post