Jaja Ishak Nafi Dakwaan Rumah Produksi Di ‘Black List’

Penerbit drama, Jaja Ishak tampil menjelaskan situasi sebenar selepas timbul spekulasi mendakwa rumah produksi miliknya Jaja Ishak Channel kononnya disenarai hitam oleh stesen televisyen tempatan.
Jaja mengakui terkejut apabila mendengar khabar angin berkenaan kerana sepanjang lebih sedekad bergelar penerbit, dia tidak pernah berdepan isu sedemikian.
“Saya memang terkejut bila dengar dakwaan rumah produksi saya kena ‘black list’. Lebih 10 tahun saya berada dalam industri, perkara seperti ini tak pernah berlaku.
“Gosip sebegini sebenarnya tidak sihat. Industri kita kecil dan semua saling bergantung antara satu sama lain.
“Saya bukan orang berada atau anak orang kaya sampai nak dengki rezeki orang. Saya bekerja keras untuk cari makan.
“Terus terang saya cakap, jadi penerbit memang bukan mudah. Banyak cabaran, terutama soal bajet,” jelasnya.
Menurut Jaja lagi, dia berasa hairan apabila individu yang menyebarkan dakwaan tersebut tidak mendapatkan kepastian daripadanya terlebih dahulu.
“Jika ada dakwaan sedemikian, kenapa tidak jumpa atau bertanya dengan saya dahulu? Ini terus post di media sosial.
“Ada juga beberapa pihak yang tanya betuk ke produksi saya sudah di ‘black list’, hakikatnya tidak.
“Sebab itu sebelum bercakap atau menyebarkan sesuatu, kena fikir kesannya. Industri kita ini kecil sahaja,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Jaja Ishak Channel bakal menampilkan sebuah program travelogue bertajuk Travelogue Konvoi Bot Pahang.
Program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 120 nelayan serta pemimpin kerajaan negeri Pahang dan akan disiarkan dalam format dokumentari vertikal berdurasi dua minit bagi setiap episod.



