Tarif Dinaikkan, Bikers Perancis Berpusu-Pusu Beli Harley-Davidson Sebelum Harga Melambung

Gara-gara perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, peminat motosikal berkuasa tinggi di Perancis berpusu-pusu mendapatkan Harley-Davidson kerana khuatir harga kenderaan tersebut akan meningkat dengan mendadak.

Hal ini berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan tarif baharu yang digelar sebagai tarif ‘Hari Pembebasan’.

Susulan daripada pengenalan itu, Kesatuan Eropah (EU) turut mengumumkan senarai barangan dari AS yang bakal dikenakan tarif.

Barangan tersebut termasuklah motosikal.

Namun, langkah berkenaan kini digantung sementara selari dengan rundingan yang sedang berlangsung.

Stephane Roger, 55, yang merupakan seorang tukang kayu mengakui sudah lama menyimpan hasrat memiliki sebuah Harley-Davidson. Begitupun, dia berasa perlu mendapatkan motosikal berkenaan secepat mungkin selepas berita kenaikan tarif oleh Trump diumumkan.

“Sekarang atau tidak sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Seorang anggota tentera Perancis berusia 30 tahun, Theo Mottet, turut berkongsi pandangan yang sama.

“Saya rasa sekarang adalah masa terbaik untuk membeli Harley. Kalau tarif dikenakan dan harga naik, motosikal ini tidak lagi mampu dimiliki oleh orang kebanyakan.

“Ia akan menjadi satu kemewahan untuk golongan elit,” ujarnya.

Sungguhpun tarif EU masih belum dikuatkuasakan, ramai pembeli menjangkakan harga melonjak sekiranya rundingan antara EU dan AS gagal.

Buat masa ini, pengedar motosikal Harley-Davidson di Perancis menikmati lonjakan jualan yang luar biasa hasil kebimbangan tersebut.

Related post

Leave a Reply