Syafiq Kyle Tak Kongkong Kerjaya Seni Mimi Lana
Pelakon, Mimi Lana, 29, memaklumkan bahawa suaminya, aktor Syafiq Kyle tidak meletakkan sebarang syarat khusus terhadap kerjaya lakonan selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Kongsi pemilik nama lengkap Mimi Rozaiana Zainal Abidin, mereka saling mempercayai antara satu sama lain dan yakin masing-masing tahu menjaga batas.
“Tiada sebarang syarat diletakkan kerana kami sudah berkawan lama sebelum kahwin lagi, tetapi ‘common sense’ itu perlu ada dalam diri masing-masing. Kita kena percaya pasangan kita.
“Sebagai manusia yang waras, kita boleh fikir apa yang baik apa yang tidak dan apa yang boleh dan juga sebaliknya.
“Saya dan Syafiq sudah pun berbincang soal ini sebelum kami sah sebagai suami isteri lagi,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya bagaimana pembahagian masa sebagai isteri dan pelakon, Mimi menjawab dia masih mampu membahagikannya dengan baik dan tidak berdepan sebarang kesulitan buat masa sekarang.
“Sehingga kini semuanya baik-baik sahaja, Alhamdulillah. Masa sebagai isteri dan pelakon saya masih boleh urus dengan baik.
“Saya pun belum masuk set penggambaran lagi buat masa sekarang, harap segalanya dipermudahkan. Doakan kami ya,” ungkapnya lagi.
Sekadar info, Syafiq dan Mimi mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu di Taiping, Perak.
Sebelum ini, mereka pernah membatalkan majlis pernikahan di saat akhir yang dijadualkan pada 18 Ogos 2023.