SRC Masih Simpan 11 Lagu Milik Siti Nurhaliza
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza masih memiliki 11 buah lagu yang belum dilancarkan di bawah bekas syarikat rakamannya iaitu Suria Records (SRC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan.
Katanya, pihak SRC tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan kesemua lagu berkenaan dalam sebuah album khas kelak.
Namun begitu, hasrat tersebut perlu mendapat persetujuan tuan empunya suara meskipun lagu itu milik SRC.
“Pihak kami ada baki 11 buah lagu Siti yang belum pernah dikeluarkan. Ketika menerbitkan setiap album Siti sebelum ini, kami sudah hasilkan lebih daripada 10 album.
“Rancangan untuk menerbitkan lagu-lagu tersebut memang ada, tetapi perlu juga mendapat persetujuan daripada pihak Siti sebagai pemilik suara kepada lagu itu.
“Pihak SRC tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melancarkan lagu-lagu tersebut,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Edwin berkata selain Siti, SRC juga masih menyimpan beberapa lagu milik penyanyi lain yang pernah bernaung di bawah syarikat tersebut.
Sekadar info, Siti menamatkan kontrak bersama SRC pada tahun 2006 dan sepanjang bersama syarikat itu, penyanyi berusia 46 tahun itu sudah merakamkan sebanyak 11 album studio.
Album terakhir Siti bersama SRC berjudul Prasasti Seni diterbitkan pada 2004 yang memuatkan sebanyak 13 buah lagu.