Siti Nurhaliza & Aina Abdul Hiburkan Presiden China
Peluang membuat persembahan pada majlis makan malam rasmi bagi meraikan Presiden China, Xi Jinping serta delegasinya di Putrajaya pada malam Rabu disifatkan sebagai satu penghormatan besar buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti, 46, bersyukur dan berterima kasih diberi peluang tersebut selain mendoakan hubungan diplomatik antara dua negara, Malaysia dan China terus kukuh.
“Setulus terima kasih atas jemputan dan kesempatan berharga ini. Semoga jalinan persembahan antara Malaysia dan China terus mekar dan kukuh,” titipnya dalam sebuah hantaran di TikTok.
Pada perkongsian sama, Siti turut memuat naik sepotong video memaparkan sedutan persembahannya pada majlis yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyanyi nombor satu negara itu telah menyampaikan dua buah lagu iaitu Cindai dan lagu klasik Mandarin berjudul “The Moon Represents My Heart” nyanyian asal Chen Fen-lan.
Selain Siti, majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan Aina Abdul yang mendendangkan dua buah lagu iaitu Tunggu Sekejap dan Wo Yao Ni De Ai.
Presiden Xi mengadakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula Selasa sehingga Khamis atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua pemimpin China itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan terakhir beliau pada 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Malaysia dan China mewujudkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.