Hasrat Senario Nak Sambut Lebaran Dengan Yassin Tak Kesampaian

Hasrat kumpul Senario untuk menyambut kepulangan Yassin Yahya sebelum Aidilfitri tidak kesampaian apabila pelawak itu masih lagi ditahan di Arab Saudi.

Menurut salah seorang anggota Senario iaitu Saiful Apek, Yassin tidak dapat pulang ke tanah air disebabkan ada beberapa kekangan dan prosuder yang masih perlu diselesaikan.

“Seharusnya Yassin dah balik Malaysia sebelum Aidilfitri, tetapi ada beberapa masalah dan agak rumit sikit prosesnya disebabkan membabitkan dua negara. Antara masalah tersebut adalah visa, tiket dan sebagainya.

“Selain itu, Yassin juga melalui satu lagi proses pemindahan depoh. Saya tak pasti prosedurnya, tapi apa yang saya boleh cakap, insya-Allah dalam masa yang terdekat ini.

“Saya agak sedih sedikit sebab sebelum ini kami Senario sudah uarkan yang dia akan balik sebelum Aidilfitri,” kongsinya dalam sebuah sidang media pada Rabu.

Dalam pada itu, Apek mengakui tidak sabar untuk berjumpa dengan sahabatnya untuk melepaskan rasa rindu.

“Saya dan kawan-kawan lain tidak sabar nak jumpa Yassin dah sambut kepulangan dia nanti. Banyak cerita yang kami ingin kongsikan kepadanya.

“Tapi kami hormat dia untuk ambil masa dan ruang sendiri apabila tiba di Malaysia nanti. Saya pun tidak mahu bercakap lebih bagi pihak Yassin kerana risau akan timbulkan pelbagai andaian. Biar tuan badan nanti cerita segalanya,” tambahnya.

Sementara itu, dakwa pelakon filem Cicak-Man ini, dia percaya Yassin tidak bersalah dan berada dipihak yang benar.

“Apa yang saya tahu, kalau kes seperti Yassin ini akan dikenalan hukuman hudud di Arab, tapi kalau dia sudah boleh dibebaskan, maksudnya adalah salah faham yang berlaku,” ungkapnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak telah ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja.

Pelawak itu dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Related post

Leave a Reply