Siling Masjid Hempap Jemaah Sebelum Solat Terawih Bermula
MALANG tidak berbau. Mungkin begitulah tanggapan jemaah warga Bekasi baru-baru ini apabila siling masjid di sana roboh secara tiba-tiba.
Kejadian itu berlaku di Masjid Al-Madinah, Bekasi, Jawa Barat ketika jemaah sedang menunggu untuk solat tarawih.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di Instagram, jemaah wanita dilihat sedang khusyuk berzikir.
Begitupun, situasi yang tenang bertukar cemas apabila siling masjid berkenaan roboh dan menghempap jemaah wanita yang sedang duduk.
Namun, nasib menyebelahi mereka kerana mereka sempat untuk melarikan diri. Menerusi laporan Inilah koran, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Video yang menerima lebih 5.5 juta tontonan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Mereka (jemaah wanita) lebih beruntung daripada orang yang tidak pernah ke masjid,” kata seorang netizen.