Berwajah Cantik & Miliki IQ 180, Amelia Henderson Segan Dilabel ‘Sempurna’

TIDAK sekadar cantik dan berbakat, pelakon Amelia Henderson, 30, juga memiliki tahap darjah kecerdasan (IQ) 180 sehingga ramai peminat melabel dirinya ‘beauty with brain’ dan sempurna.

Segan dengan jolokan diberikan, pemilik nama lengkap, Amelia Thripura Henderson memberitahu dirinya hanya manusia biasa yang mempunyai banyak kekurangan.

“Orang cakap saya sempurna? Eh tidaklah, saya ada kekurangan. Saya juga manusia biasa macam anda semua, tiada yang sempurna.

“Tetapi saya percaya setiap dari kita mahu jadi yang terbaik dan terus perbaiki diri ke arah kebaikan.

“Saya akui saya banyak kekurangan dan saya berharap suatu hari nanti, ada seseorang yang sanggup menerima kekurangan saya ini,” katanya.

Tambah aktres berdarah kacukan India-Scotland itu, orang ramai hanya melihat yang indah dipamerkan olehnya, namun mengakui ada juga melalui fasa-fasa terendah dalam hidup.

“Mungkin orang cakap saya ini nampak sempurna disebabkan selalu ceria. Namun, saya juga ada ketika rasa sedih, ada momen saya tidak okay dan sebagainya.

“Orang luar hanya nampak apa yang dikongsikan dalam media sosial, sudah pasti saya kongsikan yang indah kerana saya mahu buat orang gembira dan sebarkan positiviti.

“Kalau ketika saya sedih atau menangis, tidak saya kongsikan dalam media sosial. Cukup sekadar saya simpan sendiri,” tuturnya lagi.

Related post

Leave a Reply