Sharifah Sakinah Selamat Bernikah Untuk Kali Ketiga
Pelakon, Sharifah Sakinah, 36, mengesahkan sudah selamat melangsungkan pernikahan dengan seorang jejaka dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup, pada minggu lalu.
Sudah empat tahun saling mengenali, pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suaminya kepada umum dan lebih selesa untuk merahsiakan.
“Ya, kami sudah berkahwin minggu lalu. Tapi, saya mohon maaf kerana tidak dapat dedahkan identiti suami kerana alasan peribadi.
“Saya juga mencari masa yang sesuai untuk berkongsi berita baik ini kepada semua termasuk pihak media,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Imbas kembali, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015, namun mereka disahkan bercerai lima tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lapan tahun.
Sakinah kemudian berkahwin untuk kali kedua dengan seorang lelaki berasal dari Sweden iaitu Michael Hansen pada 2021, namun mereka berpisah pada penghujung 2023.