Music

Sentiasa Tampil Berambut Perang, Pendandan Rambut Dedah Rosé ‘Bleach’ Akar Rambut 2 Minggu Sekali

Rosé dari kumpulan K-Pop BLACKPINK sekali lagi menjadi perhatian, bukan hanya kerana mengekalkan rambut perang ikoniknya selama tujuh tahun, tetapi juga atas sikap prihatin terhadap pendandan rambut yang sudah lama bekerjasama dengannya.

Dalam satu episod terbaharu di saluran YouTube Workers High, pendandan rambut Cha Jong Hyun atau lebih dikenali sebagai Cha Cha, yang pernah bekerjasama dengan BLACKPINK, Sunmi dan I-DLE, berkongsi kisah di sebalik imej rambut perang Rosé yang menjadi identiti wanita itu.

Menurut Cha Cha, Rosé mengekalkan warna tersebut selama tujuh tahun dengan proses pelunturan (bleaching) pada akar rambut dilakukan setiap dua minggu. Menjawab kebimbangan mengenai kerosakan kulit kepala, Cha Cha menjelaskan keadaan rambut Rosé masih kekal sihat.

Cha Cha menambah, Rosé pernah memberitahu yang penampilan di mata umum lebih penting berbanding kebimbangan terhadap kesihatan rambut dan kulit kepala, sekali gus menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.

Dia juga yakin dengan teknik pelunturannya sendiri, menjelaskan bahawa walaupun produk yang digunakan mungkin sama, resipi peribadinya membantu mengurangkan kerosakan dan tona warna yang tidak sekata.

Pendandan rambut itu turut berkongsi jadual kerjanya yang padat di luar negara. Apabila Rosé berada di bandar seperti Los Angeles atau Paris, dia sering terbang untuk sesi janji temu pada hari yang sama. Dia akan tiba pada waktu pagi, meluangkan tiga hingga empat jam untuk proses pelunturan dan pewarnaan, sebelum pulang ke Korea dengan penerbangan pada sebelah malam.

Dengan tempoh perjalanan yang kadangkala melebihi 12 jam sehala, Cha Cha mengakui ia memberi kesan fizikal yang besar, malah pernah mengalami masalah pada pinggul dan tulang ekor selepas satu perjalanan ke Paris.

Ketika dia meluahkan kebimbangan mengenai kesihatan dirinya, Rosé dilaporkan telah mengatur tempat duduk kelas perniagaan untuknya bagi salah satu perjalanan tersebut.

“Golongan chaebol pun tidak buat begini,” katanya sambil meluahkan rasa terharu atas keprihatinan Rosé, dan menambah bahawa sikap tersebut mendorongnya untuk bekerja lebih keras.

Sementara itu, BLACKPINK baru sahaja melancarkan album mini ketiga mereka berjudul DEADLINE. Rosé turut mencipta sejarah selepas memenangi anugerah International Song of the Year di BRIT Awards ke-46 menerusi lagu hit globalnya APT. Kejayaan ini menjadikannya artis K-pop pertama meraih kemenangan dalam kategori tersebut di majlis berprestij United Kingdom itu.

Related Articles

Back to top button