BeritaTrending

SENIMAN Tegas Isu Gangguan Seksual, Minta Mangsa Tampil Buat Laporan

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah menegaskan isu gangguan seksual, termasuk melibatkan unsur pedofilia terhadap pelakon kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani.

Menurut Hafiz, pihak SENIMAN sentiasa bersedia membantu mangsa, namun tindakan lanjut hanya boleh diambil sekiranya laporan rasmi dibuat bagi mengelakkan sebarang tuduhan tanpa |asas kukuh.

“Kami tidak boleh bertindak berdasarkan cakap-cakap atau spekulasi. Mangsa perlu tampil dengan laporan bertulis atau sekurang-kurangnya menghubungi SENIMAN untuk perbincangan awal.

“Laporan itu penting sebagai perlindungan kepada semua pihak. Tanpa bukti dan dokumen, kita tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Tambah Hafiz, sebarang bahan sokongan seperti mesej perbualan, gambar atau rakaman di lokasi kejadian amat membantu dalam menguatkan dakwaan sekiranya kes tersebut dibawa ke peringkat seterusnya.

“Kalau ada bukti seperti mesej WhatsApp, gambar atau rakaman tertentu, barulah kita boleh menilai dan memberi pandangan dengan lebih jelas,” jelasnya.

Mengimbas pengalamannya lebih 20 tahun dalam industri seni, Hafiz mengakui perlakuan tidak bermoral seumpama itu bukan isu baharu, namun sebelum ini jarang mendapat perhatian umum kerana ketiadaan media sosial.

“Sejak dulu lagi perkara ini memang wujud. Cuma zaman dahulu, ia tidak tular. Ada yang menawarkan peluang secara salah, bukan hanya melibatkan lelaki sesama lelaki, malah turut melibatkan perempuan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Hafiz memberi peringatan keras kepada penggiat seni agar tidak sesekali terlibat dalam sebarang perbuatan yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak kerana implikasi undang-undangnya sangat berat.

“Kesalahan melibatkan kanak-kanak bukan perkara kecil. Sekali terlibat, hukuman yang dikenakan amat berat di bawah undang-undang sedia ada.

“Saya menyeru mana-mana individu yang berniat melakukan perkara jijik ini supaya hentikan segera. Perbuatan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat menjijikkan dan tidak boleh dimaafkan,” tegasnya.

Tambah Hafiz, SENIMAN akan berdiri mempertahankan artis atau bakat muda yang menjadi mangsa, memandangkan kebanyakan mereka hanya ingin membina kerjaya secara sah dan bermaruah dalam industri hiburan.

Terdahulu, seorang pelakon yang pernah terlibat dalam drama Diari Ramadhan Rafique tampil mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pengarah yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya ketika masih kanak-kanak.

Pelakon terbabit turut mendakwa, dia memilih untuk berdiam diri sebelum ini demi menjaga hubungan keluarga, namun kini merasakan sudah tiba masanya kebenaran didedahkan.

Related Articles

Back to top button