
Pengacara dan penghibur veteran, Helmi Gimmick, 65, meluahkan rasa syukur apabila tahap kesihatannya kini menunjukkan perkembangan yang semakin baik selepas menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Helmi Harun memaklumkan dia masih ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) untuk tujuan pemantauan rapi, namun keadaannya kini lebih stabil dan melegakan.
Menurutnya, sebaik sahaja pembedahan selesai, dia merasakan perubahan ketara terhadap tubuh badannya.
“Alhamdulillah, selepas pembedahan saya rasa lebih lega. Apabila bahagian yang bermasalah itu sudah dibuang, badan rasa lebih lapang dan selesa.
“Sekarang masih berada di wad. Insya-Allah, kalau tiada komplikasi, mungkin minggu ini boleh dibenarkan keluar, tetapi semuanya bergantung kepada penilaian doktor,” katanya.
Helmi turut berkongsi bahawa pihak perubatan masih menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar tanpa sebarang kesan sampingan.
Mengulas mengenai reaksi terhadap ubat-ubatan dan kesan pembedahan, Helmi berkata dia tidak mengalami sebarang masalah serius, malah kesihatannya semakin bertambah baik dari hari ke hari.
“Saya rasa lebih cergas, pernafasan pun semakin teratur, suara lebih jelas, jantung semakin baik dan tekanan darah juga stabil. Alhamdulillah.
“Saya sangat berpuas hati dengan layanan doktor serta pasukan perubatan di sini. Mereka sangat profesional dan prihatin,” katanya lagi.
Dalam tempoh pemulihan, Helmi digalakkan melakukan pergerakan ringan seperti berjalan di dalam wad dengan bantuan jururawat dan ahli keluarga bagi mempercepatkan proses penyembuhan.
Dari sudut mental dan emosi, Helmi menegaskan sikap positif menjadi faktor utama kekuatannya untuk terus pulih.
“Saya memang cuba kekalkan fikiran positif. Doktor sendiri puji dan kata saya kuat. Mereka perasan saya masih boleh bergurau, menyanyi dan tidak murung.
“Apabila sakit, kita tak boleh biarkan diri terlalu ‘down’. Bila mental jatuh, fizikal pun akan turut terjejas. Itu yang paling bahaya,” ujarnya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, Helmi selamat menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri akibat kanser pada 9 Januari lalu.



