SENIMAN Sedia Beri Kerjasama Isu Garis Panduan Pemakaian Artis Islam
Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) tampil memberi reaksi terhadap cadangan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Menurut Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, pihaknya tidak pernah dimaklumkan atau dirujuk mengenai kewujudan garis panduan yang dimaksudkan.
Menurut Zed, setakat pengetahuannya, industri seni mempunyai garis panduan membabitkan pembikinan filem dan drama. Tetapi bagi etika penampilan artis Muslim, pihaknya tidak pernah menerima sebarang dokumen rasmi daripada pihak berkuasa.
“Garis panduan filem dan drama memang ada. Tapi untuk etika berpakaian artis Islam, saya tak pernah dengar. Kalau ada, kami tak pernah dimaklum atau dirujuk,” katanya.
Isu berkaitan pemakaian selebriti Muslim kembali menjadi perhatian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan pihaknya sedang meneliti langkah mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap artis yang berpakaian terlalu seksi atau mencolok mata.
Mohd Na’im juga dilaporkan mengarahkan semakan semula garis panduan sedia ada membabitkan penampilan selebriti Islam susulan kontroversi penampilan kumpulan Dolla dalam video muzik Question yang dianggap melampau oleh sesetengah pihak.
Zed menegaskan, sekiranya wujud garis panduan rasmi yang perlu dipatuhi artis Muslim, ia perlu disampaikan kepada persatuan terlebih dahulu supaya SENIMAN dapat memaklumkan kepada ahli dan seluruh industri.
“Kalau pihak berkuasa panggil, terangkan dan beri dokumen yang sepatutnya, kami boleh sebarkan kepada artis-artis bawah persatuan. Siapa yang gubal garis panduan, dialah yang perlu bekerjasama dengan kami,” katanya lagi.
Zed menambah, masalah sering timbul apabila sesuatu garis panduan tidak dimaklum secara rasmi kepada badan-badan industri, menyebabkan persatuan tidak dapat memainkan peranan sebagai perantara.
“Sekarang ini kalau saya nak rujuk, saya nak rujuk apa? Dalam persatuan ada perlembagaan yang jelas. Tapi kalau garis panduan pemakaian artis Islam tidak pernah diberitahu atau dibincangkan, macam mana kami nak hebahkan?
“Peranan kami memang membantu kementerian atau agensi kerajaan menyampaikan apa sahaja garis panduan berkaitan industri seni. Tapi, kena ada ‘engagement’ dengan kami dahulu,” jawabya lagi.
Dalam pada itu, Zed berharap ada penyelarasan yang lebih tersusun antara pihak berkuasa dan persatuan seni agar isu-isu seperti pemakaian artis tidak menimbulkan kecelaruan dalam kalangan anak seni.
Katanya, SENIMAN sentiasa bersedia memberi Kerjasama, asalkan maklumat disampaikan secara rasmi dan jelas agar tidak berlaku salah faham mengenai tanggungjawab serta garis panduan yang perlu dipatuhi.
