BeritaTrending

Seekor Kucing Selamatkan Keluarga Dari Kebakaran Rumah

Hampir terperangkap dalam kebakaran di rumah, sebuah keluarga seramai tujuh orang di Kampung Solok Wan Moh berjaya menyelamatkan diri berkat tindakan luar biasa seekor kucing yang seolah-olah memberi amaran tentang bahaya yang datang.

Kebakaran itu melibatkan beberapa buah rumah di kampung berkenaan, menyebabkan sebilangan keluarga kehilangan tempat tinggal serta kemusnahan harta benda.

Salah seorang mangsa, Muhammad Norsham Bibin berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama isterinya, Widyawati Niban, dan tiga orang anak mereka. Ketika itu, anak-anaknya sedang tidur dalam bilik.

Menurutnya, seekor kucing yang bukan milik keluarga mereka tiba-tiba masuk ke dalam rumah, mengambil seekor ikan dari atas meja dan membawanya keluar tanpa memakannya.

Pada mulanya, Muhammad Norsham tidak mengesyaki apa-apa. Namun apabila dia keluar untuk mengambil semula ikan tersebut, dia ternampak asap tebal keluar dari sebuah rumah jiran.

Dia berkata, perbuatan kucing itu benar-benar menyentuh perasaannya kerana haiwan tersebut sebelum ini tidak pernah mengambil makanan dari atas meja.

“Kebiasaannya kucing ini datang ke rumah kami tetapi tidak pernah menyentuh makanan. Hari itu berbeza, ia mengambil ikan seolah-olah mahu memberitahu sesuatu yang buruk sedang berlaku di sebelah,” katanya.

Menyedari kebakaran telah berlaku, beliau segera memaklumkan isterinya sebelum mereka mengejutkan anak-anak dan bergegas keluar dari rumah.

Walaupun seluruh ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan, mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Menurut laporan Harian Metro, Muhammad Norsham berkata kebakaran tersebut memusnahkan kereta Proton Iswara Aeroback miliknya, selain basikal serta peralatan sekolah anak-anak.

“Saya bersyukur kerana keluarga saya terselamat disebabkan kucing itu. Jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kami,” katanya.

Tambahnya, walaupun reda dengan kehilangan harta benda, keselamatan keluarga adalah perkara paling utama.

Related Articles

Back to top button