“Sedikit Teguran, Tak Perlu Mesej Maki Hamun”

Pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 28, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir netizen yang didakwa sanggup memaki hamun serta mengeluarkan ugutan terhadap isterinya, Shila Amzah menerusi platform media sosial.
Menurut pemilik nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, perbezaan pendapat tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melemparkan kata-kata kesat atau cuba menakut-nakutkan individu lain.
“Maafkan saya, sedikit teguran. Saya rasa tak perlu sampai mesej maki hamun, bagi kata-kata kesat, ugut itu ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Dalam pada itu, Ubai turut meluahkan rasa kesal dengan kewujudan terlalu banyak akaun palsu yang digunakan untuk menyerang individu lain di media sosial.
Malah, menurutnya, kebanyakan pemilik akaun berkenaan gagal menunjukkan keberanian apabila dia mengajak mereka bersemuka bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
“Kebanyakan yang saya mesej ajak jumpa, semua tak balas. Seorang sahaja yang balas, itu pun tak nak jumpa.
“Semua bukan akaun sebenar, tahu-tahu private dan hilang. Maka dengan itu, marilah kita teruskan kehidupan,” ujarnya lagi.
Difahamkan, mesej berbaur hinaan itu diterima susulan kenyataan yang dibuat Shila sebelum ini ada menyebut tentang dua kumpulan K-pop dari Korea Selatan iaitu EXO dan BTS.



