“Saya Pegang & Cium Baju Arwah, Setiap Kali Rindu”

Pelakon, Amyza Aznan, 50, mengakui dirinya masih belum mampu menghilangkan kerinduan terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail meskipun sudah tiga bulan pemergiannya.
Menurut Amyza, dia sering memanggil nama arwah anaknya sebagai satu terapi untuk menenangkan hati selain melepaskan rasa rindu yang masih menebal.
Katanya, rutin hariannya kini banyak diisi dengan perkara yang mengingatkan dirinya kepada Andre termasuk memegang dan mencium pakaian arwah serta melihat tempat tidur anaknya di rumah.
“Saya pegang dan cium baju arwah, cakap seorang diri serta tengok tempat sofa dia tidur, itu yang saya selalu buat sekarang.
“Saya panggil pusara dia istana, saya akan pergi situ setiap hari. Saya tahu dia dah tak ada tapi saya masih panggil dia ‘anak’, ‘Andre’ atau ‘Andre, sayang mummy anak’ terutamanya bila saya seorang diri.
“Itu perkataan yang selalu saya cakap dekat hospital. Tahu benda itu sakit tapi nak buat macam mana,” katanya menerusi sebuah podcast.
Dalam pada itu, Amyza berkata, dia cuba mencari kekuatan dengan melakukan aktiviti yang mampu menenangkan emosinya termasuk menyanyi.
Menurutnya, nyanyian menjadi salah satu bentuk terapi buat dirinya setiap kali perasaan rindu terhadap arwah anak menjadi terlalu berat untuk ditanggung.
“Untuk gembirakan saya balik, saya menyanyi sebab bagi saya itu satu terapi. Setiap kali rindu, sebelum jadi teruk saya patahkan dengan doakan untuk dia.
“Saya sedekahkan doa-doa yang saya tahu. Selain hadiahkan doa, saya juga ada buat tahlil ringkas,” ujarnya.
Pada masa sama, Amyza berkata dia tidak lagi mahu berpura-pura kuat di hadapan orang ramai kerana menganggap kesedihan selepas kehilangan anak adalah sesuatu yang normal untuk dilalui oleh seorang ibu.
“Sudah semestinya penat dan saya tak malu untuk mengaku saya penat jadi kuat depan orang.
“Saya tak rasa itu satu kegagalan, kita manusia kalau nak tunjuk kuat depan orang, kita akan makan diri.
“Jadi, bila rasa nak menangis, saya buat sahaja. Itu satu proses, kena terima asalkan tahu had,” katanya lagi.
Terdahulu, anak sulung Amyza, Andre Mikhail meninggal dunia pada 23 Februari lalu akibat kanser paru-paru.
Kredit foto: NSTP



