Saiful Apek Perjelas Isu Peluk

BERIKUTAN kontroversi yang tular sejak beberapa hari lalu, pelawak Saiful Apek mengambil sepenuhnya tanggungjawab dan mengakui kekhilafan ke atas apa yang terjadi.

Terdahulu tular video yang memaparkan pelawak berkenaan merangkul pinggang usahawan Kak KM sehingga menarik perhatian peminat dan beberapa pendakwah bebas menegur tindakan tersebut.

Apek bagaimanapun reda dengan kutukan, kecaman dan caci maki yang dilemparkan, terhadapnya, namun meminta agar keluarga, sahabat handai dan pihak yang bekerjasama dengannya tidak diheret dalam kontroversi itu.

“Saya terima dengan reda setiap tohmahan dilemparkan. Tiada masalah, tapi janganlah sampai ‘melaknat’ saya, keluarga dan sahabat handai atas dasar peribadi.

“Itu bukan kasih, tetapi lebih kepada kebencian, dendam dan sakit hati seolah-olah menunggu masa untuk saya buat silap. Saya maafkan semua yang ‘melaknat’. Saya takkan benci sesiapa, tetapi ukhuwah tidak akan diteruskan dan jumpa semula di akhirat,” katanya.

Tambah pelakon yang popular dengan filem Cicak Man ini lagi, dia sedar apa yang dilakukan salah dan melanggari batas agama Islam. Dia menerima setiap teguran dibuat, malah tidak sikit pun melatah dengan apa yang berlaku.

Dia mengakui terlepas pandang tindakannya ketika bergambar bersama Kak KM berikutan ada ramai di sekeliling termasuk suami dan ibunya yang juga pelakon veteran, Normah Damanhuri.

Aksi Apek dan Kak KM yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

“Salah tetap salah, dosa tetap dosa dan haram tetap haram. Saya cukup sedar batasan agama bahawa saya memang salah, sebab itu saya sanggup betulkan.

“Saya tampil membuat kenyataan ini bukanlah untuk memuaskan hati mana-mana pihak atau berkiblatkan netizen kerana saya tidak takut hukuman netizen, sebaliknya saya lebih takut hukuman Allah.

“Seandainya disebabkan kesilapan ini nikmat dan rezeki saya ditarik sekalipun, saya reda. Saya tidak pernah cakap diri saya baik, ‘terpaling’ bagus atau wajah dijadikan contoh,” katanya menjernihkan keadaan.

Related post

Leave a Reply