Rujuk Datuk Red? Adira Kata Dia Suka Bergurau
HAMPIR setahun berpisah, penyanyi, Adira Suhaimi, 34, menyangkal dakwaan bakal rujuk kembali dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.
Pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas suami sebelum ini mengatakan mereka bakal bersatu kembali hanyalah sekadar gurauan.
“Datuk Red kan seorang yang suka bergurau, dia kadang-kadang seloroh sahaja dengan apa yang dikatakan.
“Contohnya kalau sedang ‘live’, ada orang bertanya sama ada sudah rujuk? Dia akan jawab ‘sudah’. Orang yang kenal dia tahu lah dia macam mana,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.
Mengakui sudah selesa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, pelantun lagu ‘Ku Ada Kamu’ itu memberitahu dia belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada Ilahi.
“Saya belum terfikir untuk berkahwin lagi, saya sudah selesa jalani kehidupan yang sedia ada. Fokus saya juga sekarang lebih utama kepada anak-anak dan cari rezeki untuk mereka.
“Jika ada yang mendoakan saya bertemu jodoh, alhamdulillah. Terima kasih dan terus doakan yang baik-baik untuk saya. Kalau ada jodoh, adalah, kalau tiada tidak mengapa,” kongsi Adira lagi.
Untuk rekod, Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red sebagai isteri kedua pada Disember 2015 sebelum bercerai pada 23 April 2024.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob 2.
Selang sebulan kemudian, pada Mei 2024, Datuk Red telah menceraikan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Sharifah Norshafila Hashim, 39.