Hubungan Bertahan Beberapa Bulan, Aisha Retrno Putus Cinta
PENYANYI Aisha Retno, 24, mendedahkan baharu sahaja melalui fasa bersedih selepas hubungan cinta dengan seorang jejaka sudah berakhir.
Meskipun hasrat untuk bersama lebih lama tidak kesampaian, Aisha bagaimanapun berkata, dia dan lelaki tersebut masih berkawan baik.
“Lumrah kehidupan, akan ada yang yang datang dan pergi dalam hidup kita. Kita tidak boleh menahan seseorang untuk terus dengan kita.
“Perkenalan kami sudah beberapa bulan. Walaupun sudah tiada hubungan, kami masih berkawan baik. Dalam dunia, pusing-pusing kita akan jumpa juga orang sama.
“Pada masa kini, agak sukar cari seseorang yang betul-betul boleh faham kerja saya sebagai penyanyi. Namun, tidak lah saya nak menyalahkan pihak sana,” kongsi Aisha dalam sebuah majlis berbuka puasa, baru-baru ini.
Tutur Aisha lagi, dia enggan terlalu lama larut dalam emosi sedih, sebaliknya menjadikan kisah percintaan yang gagal itu sebagai inspirasi untuk menghasilkan lagu yang bakal dimuat naik dalam album sulungnya.
“Dari sudut lain, saya jadikan kisah saya ini sebagai inspirasi untuk saya menulis lagu yang bakal dimuat naik dalam album sulung saya.
“Ada lagu yang memang berkaitan dengan si dia, cumanya lagu apa saya tak akan dedahkan. Saya tumpahkan segala emosi saya dalam lagu dan album itu.
“Bila saya menulis lagu buat seseorang, sudah tentu dia memberi kesan dalam hidup saya. Saya ingatkan insiden konsert batal itu sudah cukup sedih. Ternyata ada lagi yang lebih menyedihkan.
“Buat masa sekarang, saya memang serik bercinta. Biarlah saya fokus dengan kerjaya. Siapa yang nak datang, saya terima sahaja,” ungkap pelantun lagu ‘Ketipak Ketipung Raya’ itu lagi.