
Mahkamah mengarahkan jenama fesyen terkenal Rizman Ruzaini melalui syarikat mereka, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn. Bhd. melunaskan bayaran sebanyak RM1.3 juta susulan keputusan kes saman sivil yang difailkan melibatkan pelakon Datin Intan Najuwa.
Berdasarkan dokumen bertarikh 16 Disember lalu yang difailkan oleh suami aktres berkenaan, Datuk Ahmad Azraf Azman, mahkamah menetapkan jumlah tersebut perlu diselesaikan oleh pihak defendan sebelum atau pada 15 Januari 2026.
Memetik satu perkongsian di Instagram, Intan memaklumkan keputusan untuk tampil bersuara dibuat selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.
“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan,” katanya.
Menurut Intan lagi, kenyataan tersebut ditujukan khusus kepada pihak Rizman Ruzaini dan tidak melibatkan mana-mana individu atau pereka fesyen lain.
“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati proses perundangan sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pihak Rizman Ruzaini dilaporkan enggan mengulas lanjut apabila nama mereka dikaitkan dengan isu berkenaan.
Salah seorang pengasas jenama tersebut, Rizman, menyifatkan perkara itu sebagai perkara biasa apabila nama mereka sering menjadi sebutan dalam pelbagai isu.
Dalam perkembangan berkaitan, Intan sebelum ini mendakwa individu terbabit pernah merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji, namun mula mengelak apabila tiba masa untuk melunaskan hutang.
Susulan pendedahan itu, warganet mula mengaitkan jenama fesyen Rizman Ruzaini sebagai pihak yang dimaksudkan, sekali gus mencetuskan perhatian ramai terhadap perkembangan kes berkenaan.



