Ridani Ghani Meninggal Dunia Selepas Setahun Melawan Kanser

Pelakon popular era 1990-an, Ridani Ghani telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun pada pukul 7 pagi Isnin di Hospital Selayang selepas hampir setahun berjuang melawan kanser ovari.
Perkhabaran duka itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham, Yaya Maembong.
Ridani disahkan menghidap kanser ovari pada Oktober tahun lalu. Sejak itu, beliau menjalani rawatan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pada Sabtu lalu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan rapi.
Semalam, anak sulungnya, Muhammad Faris Syamir Jaafar, memaklumkan ibunya ditempatkan di Wad Penjagaan Paliatif Hospital Selayang susulan keadaan kesihatan yang semakin membimbangkan. Bagaimanapun Allahyarham tidak ditidurkan sepenuhnya.
Sebelum itu, penyampai radio Shiera turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan Ridani selepas memaklumkan keadaan pelakon itu tidak stabil ketika menerima rawatan di hospital.
Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata, Muhammad Faris Syamir Jaafar, 35, dan Muhammad Faiq Faisal Jaafar, 33.
Sepanjang bergelar anak seni, Ridani dikenali menerusi lakonannya dalam beberapa drama popular termasuk Romeo dan Juliet, Kilauan dan siri Spektra, sekali gus menjadikannya antara wajah yang cukup dikenali dalam industri hiburan tanah air pada era 1990-an.



