Isteri Penjaga Gol Korea Selatan Tutup Ruang Komen Lepas Diserang Netizen

Pelakon dan model Korea Selatan, Kim Jin Kyung, terpaksa menutup ruangan komen di akaun media sosial selepas menjadi sasaran kecaman netizen susulan prestasi suaminya, penjaga gol Kim Seung Gyu, ketika perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menentang Mexico.
Korea Selatan tewas 1-0 kepada tuan rumah, Mexico. Menurut Kbizoom, jaringan tunggal perlawanan hadir selepas Kim Seung Gyu gagal mengawal bola dengan kemas, sekali gus memberi peluang kepada Luis Romo untuk menyambar bola muntah dan menjaringkan gol kemenangan.
Walaupun Kim Seung Gyu menerima kritikan hebat di media sosial susulan kesilapan tersebut, segelintir netizen turut melepaskan kemarahan mereka di akaun media sosial isterinya, meskipun Kim Jin Kyung langsung tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan itu.
Malah, komen-komen negatif turut membanjiri sebuah video yang memaparkan detik Kim Jin Kyung melahirkan anak mereka, dengan kebanyakan kritikan ditujukan kepada penjaga gol berkenaan.
Susulan itu, Kim Jin Kyung mengambil keputusan untuk mengehadkan ruangan komen di saluran YouTube serta akaun media sosialnya. Pengunjung kini hanya dapat melihat notis bahawa ruangan komen telah ditutup atau dihadkan kepada pelanggan (subscribers) sahaja.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2024 dan baru sahaja menyambut kelahiran anak perempuan sulung mereka.
Ketika Kim Jin Kyung bersalin, Kim Seung-gyu berada bersama skuad kebangsaan Korea Selatan dan tidak dapat berada di sisi isterinya. Dia hanya dapat melihat wajah anaknya buat kali pertama menerusi gambar serta panggilan video.
Malah, dia dilaporkan menyaksikan anaknya membuka mata buat kali pertama ketika membuat panggilan video bersama isterinya, tidak lama sebelum Korea Selatan berdepan Republik Czech.
Dalam satu sidang media, Kim Seung Gyu secara terbuka memohon maaf kepada isterinya kerana tidak dapat menemani proses kelahiran anak mereka dan berjanji akan membalas pengorbanan tersebut dengan memberikan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan.



