Trending

Noraniza Idris Mahu Hadir Ke Konsert Tradisional Siti Nurhaliza

Penyanyi Noraniza Idris menegaskan dia tetap akan memberikan sokongan penuh terhadap Konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal dianjurkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meskipun tidak menerima sebarang jemputan untuk membuat persembahan.

Menurut Noraniza atau mesra disapa Kak Ani, usaha mengangkat martabat muzik tradisional perlu disokong oleh semua penggiat seni tanpa mengharapkan peluang berkongsi pentas.

“Industri muzik kita kecil sahaja. Kita boleh saling menyokong dalam apa jua cara, bukan semata-mata kerana dijemput membuat persembahan.

“Sejak zaman arwah Pak Ngah lagi, saya memang memasang impian untuk menonton konsert Siti. Dia nama besar dan lagu-lagunya sangat dekat dengan masyarakat.

“Sebagai penyanyi yang membawa irama Malaysia, saya ingin melihat sendiri bagaimana strategi yang digunakan sehingga lagu-lagu tradisional mampu menarik ribuan penonton serta diterima pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Pelantun lagu Awallah Dondang itu berkata, hasrat untuk menonton persembahan Siti sebelum ini sering tertangguh akibat komitmen kerja serta masalah kesihatan.

“Tahun lepas pun saya memang berhajat hendak datang, tetapi ketika itu ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Apabila diumumkan konsert kali ini berlangsung pada Oktober, saya memang teringin untuk hadir. Kalau ada rezeki, insya-Allah saya akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada berharap menerima jemputan sebagai artis jemputan, Noraniza berkata dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan kerana baginya sokongan tidak semestinya diberikan dari atas pentas.

“Kalau tiada tawaran pun tidak mengapa. Saya tetap akan menyokong. Sokongan boleh diberikan dalam pelbagai cara.

“Saya memang tidak suka meletakkan harapan. Kalau ada rezeki, alhamdulillah. Kalau tiada pun saya reda dan tetap akan memberi sokongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noraniza mengakui kagum dengan keberanian Siti menganjurkan konsert berteraskan muzik tradisional di stadium, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai sesuatu yang bukan mudah dilakukan dalam landskap industri muzik hari ini.

“Saya memang bangga dengan apa yang dilakukan Siti. Sejak dahulu lagi saya kagum melihat perjalanan konsert-konsertnya.

“Daripada memenuhi Istana Budaya sehinggalah Axiata Arena, saya selalu tertanya-tanya bagaimana dia mampu melakukannya.

“Bukan mudah membawa konsert yang mengetengahkan irama Malaysia kerana masyarakat hari ini lebih cenderung kepada muzik komersial.

“Sebab itu saya sangat menghargai usaha ini. Konsert seperti ini penting untuk memastikan warisan muzik tradisional terus hidup dan relevan kepada generasi akan datang,” ungkapnya.

Terdahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal menganjurkan Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

Related Articles

Back to top button