Presiden Seniman Beri Amaran, Jangan Sentuh Isu 3R
JANGAN sesekali bermain dengan sentimen 3R- itu pandangan yang dilemparkan Presiden Persatuan Senimam Malaysia, Kolenel Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil saat melihatkan kontrovesi yang sedang melanda stesen radio Era.
Apa yang sedang berlaku merupakan kesan daripada isu 3R (Race, Relegion & Royalty) yang dipandang remeh dan akhirnya membawa impak yang sangat besar kepada masyarakat dan negara.
“Persatuan Seniman mengambil serius dengan kontroversi yang sedang melanda Era ketika ini. Isu 3R merupakan hal yang sangat sensitif dan tidak boleh dibuat main-main.
“Apa yang berlaku kepada Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin harus dijadikan pengajaran kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam mencipta kandungan dan berwaspada agar tidak menyinggung sensitiviti.
“Jangan sesekali merosakkan perpaduan yang telah lama kita bina hanya kerana kecuaian sendiri,” katanya.
Melihatkan isu yang semakin serius dan mendapat perhatian ramai pihak, beliau menyambut baik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menangani isu tersebut.
Keputusan MCMC memanggil dan menyiasat Era melalui syarikat Astro Audio yang menaungi stesen berkenaan adalah tepat agar memberi pengajaran kepada pihak lain untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.

“Kita menyambut baik tindakan Astro Audio untuk menggantung sementara kesemua mereka yang terlibat dalam kontroversi ini. Tindakan responsif berkenaan wajar dilaksanakan bagi memberi laluan kepada proses siasatan dalaman dan sebagainya.
“Namun, Persatuan Seniman meminta MCMC untuk mengkaji semula Notis Niat Penggantungan Lesen stesen tersebut memandangkan yang melakukan kontroversi hanyalah beberapa individu sahaja.
“Kesalahan yang dilakukan juga bukanlah ketika siaran langsung sebaliknya di media sosial . Tidak wajar untuk menggantung stesen berkenaan kerana impak besar akan dihadapi oleh banyak pihak,” tegasnya lagi.
Pada Rabu, MCMC dalam satu kenyataan telah memberikan Notis Niat Penggantungan Lesen dan memberikan tempoh 30 hari kepada Astro Audio sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
“Saya minta semua ahli Persatuan Seniman dan masyarakat mengambil serius dengan isu ini. Jangan sesekali cuba bermain dengan isu 3R dan jadikan apa yang telah berlaku sebagai pengajaran,” tambahnya lagi.
Terdahulu ketiga-tiga penyampai Era didakwa mempersendakan agama Hindu menerusi satu video yang dimuat naik ke dalam akaun stesen berkenaan.
Kandungan tersebut mendapat perhatian ramai dan sejumlah laporan polis dibuat kepada mereka. Pada Rabu, kesemua mereka telah dipanggil ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan.