Berita

Polis Siasat Pemandu Bawa Bas Sambil Pangku Wanita Di Riba

Satu video tular yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres memandu kenderaan sambil seorang wanita duduk di atas riba telah menarik perhatian pihak berkuasa.

Menurut Berita Harian, polis mengesahkan bahawa pemandu berusia 36 tahun itu sudah berkahwin, manakala wanita terbabit dipercayai individu yang dikenalinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert, lelaki tersebut dipercayai berasal dari Johor. Namun, identiti wanita berkenaan masih belum dikenal pasti setakat ini.

Pihak berkuasa juga memaklumkan bahawa hubungan sebenar antara kedua-dua individu masih belum dapat dipastikan kerana mereka belum berjaya dikesan.

Polis menegaskan bahawa mereka memandang serius kes ini memandangkan ia melibatkan kenderaan pengangkutan awam yang membawa penumpang.

Kedua-dua individu dalam video tersebut diminta tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat turut digesa untuk menghubungi pegawai penyiasat atau tampil ke balai polis berhampiran.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut membuka siasatan susulan rakaman tular tersebut.

Related Articles

Back to top button