Pernah Terdetik Nak Berhenti Menyanyi – Misha Omar
Demi tuntutan kerjaya suami sebagai juruterbang, penyanyi, Misha Omar, 43, mengakui pernah terdetik dalam hati untuk berhenti daripada bidang nyanyian.
Pemilik nama sebenar Samihah@Aisah Omar, berkata, perkara itu diluahkan kerana mahu mengikutnya suami, Firos Ezwan Rosli berhijrah disebabkan menerima tawaran kerja ke luar negara.
“Saya pernah berhasrat untuk bersara sebagai penyanyi. Beberapa tahun lalu saya memang hampir ‘pencen’ kerana suami mahu berhijrah selepas menerima tawaran kerja ke luar negara.
“Sekiranya perkara itu benar-benar jadi kenyataan, saya perlu lepaskan kerjaya nyanyian sebab saya tak mahu biarkan suami terkontang-kanting seorang diri,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu ‘Sampai Bila’ ini berkata, hasrat tersebut bagaimanapun tidak direalisasikan kerana suaminya telah melepaskan tawaran berkenaan.
“Saya masih di sini (Malaysia) dan Tuhan belum izinkan untuk saya berhenti menyanyi. Selepas fikir tentang persekolahan anak terutama yang sulung bakal duduki SPM, suami tolak tawaran itu,” ujarnya kepada Kosmo Online!.
Pun begitu, jelas Misha, jika suatu hari nanti benar-benar akan berhijrah dan terpaksa berhenti menyanyi, dia mahu segalanya berlaku dalam keadaan tenang.
Untuk rekod, Misha mendirikan rumah tangga dengan Firros pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa.
Selain itu, Misha juga memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir