Penyanyi Legenda Titiek Puspa Meninggal Dunia
Penyanyi legenda Indonesia, Titiek Puspa dilaporkan meninggal dunia hari ini. Berita pemergian penyanyi yang berusia 87 tahun itu disahkan oleh pengurusnya, Mia, seperti yang dilaporkan Detik.
“Iya, sekitar 15 minit yang lalu,” katanya yang mengesahkan pemergian penyanyi berkenaan pada jam 4.25 petang waktu Indonesia.
Terdahulu pihak media di sana melaporkan Titiek mengalami pendarahan otak di sebelah kiri dan sedang dirawat di sebuah hospital di Jakarta.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kupu-Kupu Malam itu pengsan ketika dia sedang terlibat dalam rakaman sebuah program TV di stesen Trans 7 pada 26 Mac lalu dan sempat merakamkan tiga segmen sebelum kejadian berlaku.
Menurut anaknya, Petty Tunjungsaro, keadaan ibunya ketika itu agak serius dan sempat menjalani pembedahan sebelum ‘ditidurkan’ sepanjang proses pemulihan.
Titiek Puspa lahir dengan nama Sudarwati pada 1 November 1937. Sepanjang bergelar anak seni, banyak karyanya popular bukan sahaja di Indonesia tetapi juga Malaysia.