Berita

Penunggang Motosikal Maut Jatuh Melambung Ke Bumbung Kereta, Pemandu Myvi Trauma Dua Malam Tidur Tak Lena

Seorang lelaki berusia 42 tahun mendakwa masih trauma selepas menyaksikan satu kemalangan ngeri di Klang, apabila seorang penunggang motosikal tercampak dan mendarat di atas bumbung keretanya dalam kejadian yang berakhir dengan kematian.

Insiden itu berlaku di Jalan Raya Barat kira-kira jam 11.47 pagi Ahad lalu.

Pemandu tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Meganathan itu berkata, kejadian berkenaan sering berulang dalam fikirannya sehingga menyebabkan dia sukar tidur selama dua malam.

“Setiap kali saya pejam mata, kejadian itu muncul semula dalam ingatan.

“Saya masih nampak tangan mangsa terjuntai di cermin depan kereta saya. Sampai sekarang, saya masih terkejut bila teringat,” katanya.

Menurut laporan Kosmo!, Meganathan sedang memandu sebuah Perodua Myvi bersama seorang rakan menuju ke Port Klang apabila kejadian itu berlaku secara tiba-tiba.

Menurutnya, semuanya berlaku terlalu pantas sehingga pada awalnya dia menyangka keretanya tidak melanggar apa-apa.

Namun beberapa saat kemudian, dia menyedari sesuatu yang luar biasa.

“Saya sedar ada seseorang di atas kereta saya apabila terlihat tangan mangsa terjuntai di bahagian cermin depan sebelah pemandu,” katanya.

Tidak pasti keadaan mangsa, Meganathan berkata dia terus memperlahankan kenderaan untuk mengelakkan badan mangsa terjatuh ke jalan.

“Dalam saat itu, saya tak kisah kalau kereta saya rosak. Saya cuma nak pastikan dia tak terjatuh,” tambahnya.

Meganathan kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan, namun mendapati mangsa sudah tidak bergerak.

Pengalaman itu memberi kesan emosi yang mendalam kepadanya.

Selain trauma, dia juga terpaksa berdepan dengan kesan susulan kejadian kerana keretanya tidak dilindungi insurans komprehensif dan kini ditahan di balai polis untuk siasatan.

Meganathan turut meluahkan rasa sedih selepas mengetahui mangsa mempunyai keluarga dan anak kecil.

“Satu kesilapan, ramai yang terkesan. Saya pun turut terjejas dengan apa yang berlaku,” katanya.

Related Articles

Back to top button