Pengkarya Perlu Bertanggungjawab, Jaga Sensitiviti
MELIHATKAN satu persatu produksi seni tanah air yang mendapat perhatian dan kecaman netizen sebenarnya banyak memberikan pengajaran kepada penggiat industri lain untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya.
Bagi penerbit, Jaja Ishak, apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini memberikan kesan kepadanya untuk terus menghasilkan karya yang baik tetapi dalam masa yang sama menyampaikan mesej yang baik kepada penonton.
“Memang benar setiap penerbit atau pengkarya mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam menyampaikan kisah yang diangkat untuk tontonan masyarakat.
“Tapi dalam kita menyampaikan dan mencari impak untuk naskhah tersebut, jangan sesekali mencetuskan provokasi dan mencari populariti melaluinya. Sensitiviti tetap perlu dijaga,” katanya.
Tambah pemilik rumah produksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd ini lagi, ada pelbagai cara yang boleh diguna pakai untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat selain memilih babak kontroversi.
Apa yang paling penting adalah kekuatan karya itu sendiri, gerak kerja pasukan produksi selain kehebatan pelakon. Sekiranya gandingan itu ‘kena’, pastinya memberikan impak yang baik.
Karya yang baik bukan bukanlah dinilai kepada kontroversi semata-mata tetapi dalam masa yang sama mampu menjadi buah fikiran dan pengajaran kepada penonton.
Jaja berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kontroversi dua drama terbitan syarikat produksi Erma Fatima menerima kecaman susulan beberapa adegan panas yang dipaparkan dalam drama penstriman Bidaah dan Keluarga Itu.
Tambahnya lagi, setiap penerbit perlu memahami garis paduan dan garis pemisah antara keberanian berkarya dan tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Semua orang boleh berkarya dan membawa sesuatu yang berani, tetapi harus ada cara yang betul. Kreativiti dan tanggungjawab harus berjalan seiring.
“Saya yakin penonton sekarang bijak dalam menilai sesebuah karya, namun penerbit perlu peka dalam memastikan kandungan yang disampaikan tidak tersasar daripada matlamat asal,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru pula, dia sedang menantikan tayangan telefilem Rahsia Kelabu yang akan ditayangkan di TV3, Sabtu ini.
Telefilem arahan Isma Yusoff itu menampilkan lakonan Khatijah Tan, Kamal Adli, Nelissa Nizam, Hazrat Muaz dan Boy Ibrahim.
“Kalau mencari sesuatu yang berbeza, saya minta semua menonton telefilem ini. Ada sesuatu yang istimewa dalam karya kali ini,” tambahnya lagi.