Didakwa Ciplak Rekaan Samping, Pengasas Elrah Exclusive Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang

PENGASAS jenama Elrah Exclusive, El Azman bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan dia menciplak rekaan samping merosakkan reputasi jenama pakaiannya itu.

El Azman menjelaskan, dakwaan yang dikenakan kepada dia adalah sebagai tidak berasas.

“Elrah Exclusive menegaskan dakwaan yang dibuat ke atas koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025 adalah tidak berasas dan tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh.

“Kami juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan yang tidak berasas ini menjejaskan reputasi dan kredibiliti Elrah Exclusive,” katanya dalam satu kenyataan.

Bercakap mengenai rekaan berkenaan, El Azman menambah, motif keris sudah wujud dalam seni tekstil Melayu sejak sekian lama.

“Motif keris bukanlah sesuatu yang dicipta oleh satu individu atau keluarga tertentu, tetapi merupakan sebahagian warisan budaya nusantara.

“Oleh itu, motif ini tidak boleh didakwa sebagai milik eksklusif mana-mana pihak,” ujar usahawan terkenal itu.

Sementara itu, El Azman menjelaskan, pendaftaran hak cipta ke atas motif keris yang dibuat oleh satu jenama pakaian terkenal juga tidak membuktikan motif tersebut dimiliki oleh mereka.

“Kami mendapati pihak yang mendakwa hak ke atas motif ini hanya mendaftarkan hak cipta mereka pada 2025.

“Ini bermakna mereka baru sahaja mendapatkan perlindungan hak cipta dan tidak mempunyai bukti rasmi mereka memiliki motif ini sejak 1890 seperti didakwa.

“Motif keris yang digunakan dalam koleksi kami adalah hasil interpretasi tersendiri dan bukanlah salinan langsung daripada mana-mana karya berdaftar.

“Selagi motif digunakan tidak meniru secara tepat karya yang didaftarkan di bawah hak cipta, ia bukan satu kes pelanggaran hak cipta,” jelasnya lagi.

El Azman kemudian turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang membangkitkan isu rekaan keris itu sebaik sahaja koleksi daripada jenamanya mula dijual.

Terdahulu, pempengaruh popular Tyra Kamaruzzaman mendakwa rekaan kain samping keluaran suaminya, Emran Rijal diciplak oleh sebuah jenama baju Melayu terkenal.

Dalam perkongsiannya, Tyra turut memuat naik imej Sijil Hakcipta rekaan samping bercorak keris keluaran jenama suaminya sebagai bukti.

Related post

Leave a Reply