Lensa Skrin

Pengarah The Wonderfools Nafi Buat Suntingan, Kurangkan Kemunculan Cha Eun Woo Dalam Drama

Pengarah siri Netflix The Wonderfools, Yoo Insik menegaskan tiada sebarang suntingan dibuat terhadap pelakon utamanya, Cha Eun Woo untuk mengurangkan kemunculannya dalam drama tersebut.

Yoo Insik berkata dia hanya mengetahui mengenai isu tersebut menerusi laporan berita ketika proses suntingan dan pasca produksi drama itu hampir selesai sepenuhnya.

“Projek ini merupakan impian lama saya dan setiap individu yang terlibat bekerja sangat keras walaupun untuk satu babak berdurasi satu saat.

“Kami menjalankan proses pasca produksi dengan mengutamakan kualiti keseluruhan dan kesempurnaan drama,” katanya pada sidang media siri Netflix itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Insik meminta pemahaman ramai kerana tidak dapat mengulas secara terperinci mengenai isu peribadi berkaitan kontroversi tersebut.

Cha Eun Woo

Menyentuh mengenai prestasi Cha Eun Woo, Insik memuji pelakon itu dengan menyatakan lakonan emosinya dan persembahan pelbagai dimensi dalam drama berjaya melebihi jangkaan.

“Bukan sahaja Cha Eun Woo, malah semua pelakon menunjukkan sisi baharu diri mereka.

“Cha Eun Woo juga bekerja dengan penuh semangat seperti pelakon lain dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya,” tambahnya.

The Wonderfools merupakan siri pengembaraan adiwira komedi berlatarbelakangkan tahun 1999 yang mengisahkan sekumpulan individu tersisih dalam kejiranan yang secara tidak sengaja memperoleh kuasa luar biasa dan berusaha melindungi dunia daripada penjahat yang mengancam keamanan.

Siri tersebut ditayangkan di Netflix mulai hari ini.

Related Articles

Back to top button