Pengarah Haris Kadir Meninggal Dunia Akibat Kanser

Industri seni tanah air sekali lagi berdukacita apabila pengarah drama veteran, Haris Kadir dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 60 tahun.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Faizal Ariff, yang memaklumkan Haris menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 pagi di Hospital Ampang akibat kanser paru-paru.
Menurut Faizal, Allahyarham sebelum ini telah lama menerima rawatan di hospital bagi melawan penyakit tersebut.
“FDAM turut melawat Allahyarham pada 21 Januari lalu bagi memantau keadaan kesihatannya,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.
Sementara itu, Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada industri, memandangkan arwah merupakan antara pengarah ‘otai’ yang banyak membuka jalan kepada generasi pengarah masa kini.
“Beliau berperanan besar dalam menaikkan profil pengarah drama televisyen. Sumbangan Allahyarham amat signifikan kerana membuka ruang dan memberi peluang kepada generasi kedua serta ketiga dalam industri ini,” katanya.
Sepanjang kerjaya seninya, Haris meninggalkan legasi yang luas menerusi penghasilan pelbagai drama rantaian mega dan telefilem popular seperti Manjalara, Misi Anak Bulan, Cinta Ibadah, Bukan Kerana Aku Tak Cinta serta siri telefilem Bila Hati Telah Hitam.



