Pablo Amirul Sah Bernikah Dengan Doktor Pakar Estetik

Pelakon, Pablo Amirul kini sah bergelar suami kepada pakar estetik, Dr Hana Rose selepas selamat melangsungkan pernikahan pada jam 12.30 tengah hari, Isnin.
Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis yang berlangsung di The Dove Hall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dengan Dr Hana dinikahkan sendiri oleh bapanya, Datuk Seri Dr Hasrul Sani.
Upacara akad nikah tersebut turut disaksikan jurunikah Ustaz Syed Abdullah serta abang ipar pengantin perempuan, Datuk Dr Awang Faisal.
Pablo menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM800, set alat solat dan sebentuk cincin berlian, manakala jumlah wang hantaran tidak didedahkan kepada umum.
Tampil serasi dan menawan, kedua-dua pengantin memilih persalinan sedondon berwarna putih yang menyerlahkan keanggunan masing-masing.
Majlis berkenaan turut dihadiri ahli keluarga terdekat, sahabat handai serta rakan media yang hadir membuat liputan.
Antara selebriti yang memeriahkan majlis pernikahan itu termasuk Rozita Che Wan, Zain Saidin, Ellie Suriaty dan Chacha Maembong.
Sebelum ini, Pablo pernah berkongsi bahawa keputusan untuk mendirikan rumah tangga dibuat dalam tempoh singkat kerana tidak mahu melengahkan perkara baik.
Untuk rekod, pada April tahun lalu, Pablo mengesahkan sedang menjalin hubungan istimewa dengan Dr Hana Rose dan memaklumkan hubungan tersebut telah mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.



